Dua penuntut Pulada terima rawatan di ICU beransur pulih

Strok haba: Dua penuntut Pulada terima rawatan di ICU beransur pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Dua daripada tujuh penuntut kursus tempur pegawai muda di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Johor yang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini telah dibenarkan keluar.

Lima pelatih lagi pula dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan, Pulada sedang mengendalikan Kursus Tempur Pegawai Muda Siri 3 Tahun 2023 dari 18 September lalu hingga 5 Januari 2024 di Johor. 

Katanya, ia adalah kursus asas bagi membentuk tahap kompetensi dan profesionalisme sebagai pegawai muda Tentera Darat.

“Pada 13 Oktober lalu, 10 penuntut kursus telah rebah secara berperingkat di beberapa lokasi sepanjang laluan eksesais Wira Lasak iaitu Ujian Jalan Laju lapan kilometer (KM) di sekitar kawasan Lapang Sasar Utara, Pulada, Ulu Tiram, Johor.

“Kesemua penuntut  dirujuk ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan awal, manakala tiga daripada mereka telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Wad ICU (Zon Merah) kerana tidak sedarkan diri. 

“Seorang daripada mereka telah disahkan meninggal dunia akibat strok haba pada 15 Oktober lalu dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor,” katanya.

Katanya, dua penuntut pegawai muda yang ditempatkan di unit rawatan papi (ICU) telah sedarkan diri dan beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan rapi.

“Tentera Darat memandang serius insiden ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian di samping melaksanakan penambahbaikan kepada pengendalian sistem latihan sedia ada, jika perlu,” kata kenyataan itu. 

Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, Tentera Darat juga sedang mengusahakan segala bentuk bantuan dan kelayakan-kelayakanyang dapat diperoleh mengikut peraturan sedia ada bagi membantu waris pegawai yang telah meninggal iaitu Allahyarham Leftenan Muda, Emil Syahid Iskandar.

“Panglima Tentera Darat serta seluruh warga Tentera Darat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Diharap mereka dapat menerima dugaan ini dengan tabah. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya