Haiwan zoo boleh alami tekanan haba

Haiwan zoo boleh alami tekanan haba

ORANG ramai melawat Zoo Taiping. - UTUSAN/WAT KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Cuaca panas boleh menyebabkan haiwan di zoo meng­alami heat stress atau tekanan haba dan sistem imun menurun, hingga memberi kesan kepada kesihatan haiwan berkenaan.

Pengarah Zoo Taiping, Dr. Muhamad Ridhwan Affendi berkata, sehubungan itu pihaknya sentiasa memantau kesihatan haiwan di zoo tersebut dengan memastikan menerima diet, air serta tempat teduhan mencukupi untuk menghalang daripada terkesan cuaca panas.

Menurutnya, penjaga juga akan memandikan haiwan jika didapati cuaca semakin panas.

“Setakat ini tiada lagi insiden atau kes kematian yang boleh dikaitkan dengan cuaca panas melampau di zoo ini. Kami sentiasa berwaspada dan memberi perhatian kepada haiwan.

“Pemantauan haiwan atau ve­terinar sentiasa dilakukan siang dan malam. Penjaga haiwan serta unit veterinar juga mempertingkatkan pemantauan serta merekodkan segala aktiviti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, disebabkan cua­­ca panas yang melampau, keha­diran pengunjung pada waktu siang menurun sedikit namun, terdapat peningkatan ketara pengunjung pada waktu malam ke Night Safari.

Katanya, peningkatan mungkin disebabkan faktor cuaca yang lebih sejuk dan selesa berbanding waktu siang yang panas.

“Kami sentiasa menjalankan promosi di sosial media untuk menarik pengunjung dan menjalankan aktiviti ‘petting zoo’ untuk memberi pengalaman menarik kepada pengunjung.

“Haiwan yang baru lahir juga dipamerkan bermula dari cuti sempena Hari Raya Aidilfitri serta penambahan haiwan yang aktif pada waktu malam (nokturnal) dipamerkan untuk menarik pe­ngunjung ke Night Safari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengunjung supaya sentiasa memberi perhatian kepada peraturan-peraturan zoo antaranya memberi makanan atau minuman tanpa kelulusan, menganggu haiwan atau memasuki kawasan larangan.

“Kami sentiasa merancang untuk meningkatkan kesejahteraan haiwan dan pengalaman pengunjung di mana penyelenggaraan kurungan dan pameran dijalankan secara berjadual, penambahbaikan kemudahan awam serta pemantauan diet haiwan yang berterusan dan terperinci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN