TANJUNG MALIM: Dua lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabit nahas dengan lori muatan bijih amang di Kilometer 365, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Pang Ah Kau, 76, dan Lau Hock Hing, 83.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Isma Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 5.42 pagi dengan sepasukan 11 anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa terperosok di bahagian belakang lori menyebabkan mereka tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
“Anggota segera menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat pada pukul 7.05 pagi,” katanya. – UTUSAN










