PETALING JAYA: Pembentangan Belanjawan 2026 hari ini dijangka antara paling mencabar sejak negara berdepan tekanan ekonomi global dan desakan penyatuan fiskal yang semakin ketara.
Bank Dunia turut memberi amaran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan dijangka mendatar, dengan momentum perlahan akibat ketidaktentuan pasaran dunia dan risiko tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa sektor dagangan global.
Tumpuan kerajaan kini, memastikan belanjawan bersifat inklusif, mengekalkan kesejahteraan rakyat, mengawal perbelanjaan negara serta mengurangkan defisit fiskal tanpa membebankan rakyat.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, berkata peningkatan cukai memang boleh menambah hasil negara, namun langkah itu perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati kerana tekanan kos sara hidup rakyat masih tinggi.
“Belanjawan bukan hanya soal angka atau imbangan fiskal, tetapi soal kesejahteraan rakyat. Ekonomi boleh stabil seperti bangunan kukuh, tetapi jika rakyat tertekan dan tidak sejahtera, pembangunan itu tidak akan mampan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan perlu berhati-hati agar langkah menambah hasil tidak menjejaskan golongan rentan. Selain itu, beliau mengingatkan bahawa kesihatan mental rakyat turut terkesan akibat tekanan ekonomi berpanjangan.
Mengulas mengenai strategi meningkatkan hasil tanpa memperkenalkan cukai baharu, Mohamad Fazli berkata, kerajaan wajar memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dengan memanfaatkan kelebihan infrastruktur, pelabuhan dan zon industri yang sedia ada.
“Kita ada kelebihan logistik dan tenaga kerja berkemahiran. Jika dimanfaatkan sepenuhnya, Malaysia boleh menjadi destinasi pelaburan serantau tanpa perlu menambah cukai baharu yang menekan rakyat,” katanya.
Berhubung cadangan pelaksanaan cukai terhadap kenderaan elektrik (EV), beliau menyarankan insentif sedia ada dilanjutkan dua hingga tiga tahun lagi bagi merancakkan pasaran tempatan serta menyokong pertumbuhan industri automotif nasional.
“Minat rakyat terhadap EV masih di peringkat awal. Dengan pelancaran model mampu milik seperti Proton e.MAS 5 berharga sekitar RM60,000, ia membuka ruang kepada golongan B40. Sokongan kerajaan penting supaya transformasi hijau benar-benar dirasai rakyat biasa,” katanya.
Tambahnya, dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu inklusif dan dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi agar manfaatnya dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan boleh melaksanakan penilaian suku tahunan untuk menilai keberkesanan setiap dasar, mengelakkan penyelewengan dan memastikan impaknya sampai kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, menjangka kerajaan akan merangka belanjawan berhemat tanpa memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada penjimatan melalui rasionalisasi subsidi.
“Peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar boleh menjimatkan perbelanjaan negara. Penjimatan itu boleh digunakan untuk membantu rakyat dan mengurangkan defisit,” katanya.
Katanya, penjimatan juga boleh dijana melalui pengurangan ketirisan, pembaziran dan rasuah, di samping menarik lebih banyak FDI sebagai sumber pendapatan baharu.
Berhubung cukai EV, Ahmed Razman percaya kerajaan akan mengekalkan pengecualian bagi terus merangsang permintaan domestik terhadap kenderaan mesra alam itu.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai, menjangkakan kerajaan akan memberi tumpuan kepada pengurusan fiskal berhemat dengan mengurangkan defisit fiskal kepada sekitar 3.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, langkah itu boleh dicapai melalui pelaksanaan cukai karbon, pelarasan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta peluasan e-invois untuk meningkatkan pematuhan cukai.
“Kerajaan akan menambah pendapatan dengan memperluas asas percukaian dan mengurangkan kebocoran dalam sistem sedia ada,” katanya.
Beliau turut menjangka skim bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar untuk petani, penoreh getah, pesawah serta nelayan akan diteruskan.
“Di bandar pula, kerajaan mungkin mengekalkan subsidi terpilih bagi keperluan asas seperti makanan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Mengulas kedudukan hutang negara, Barjoyai berkata, walaupun jumlahnya tinggi, ia tidak membimbangkan kerana majoriti adalah hutang domestik yang boleh diurus semula melalui terbitan bon baharu.
Namun beliau mengingatkan bahawa kejatuhan perbelanjaan modal daripada 4.4 kepada 3.3 peratus KDNK boleh menjejaskan pertumbuhan jangka panjang jika tidak dipulihkan segera.
Kerajaan dijangka menumpukan kepada sektor strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pembuatan hijau dan pendigitalan bagi memacu pertumbuhan baharu sambil memperkukuh perlindungan sosial untuk kumpulan rentan. – UTUSAN










