GEORGETOWN: Polis menafikan dakwaan kononnya tidak mengambil tindakan berhubung insiden dera melibatkan kanak-kanak di rumah pengasuh yang insiden itu tular dalam media sosial Twitter sejak semalam.
Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek dalam kes itu iaitu seorang wanita warga asing berusia 53 tahun akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat selepas pihaknya mendapat kebenaran Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Jelas beliau, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Persiaran Minden, Gelugor dekat sini pada 2 Disember lalu dan laporan mengenainya dibuat seorang wanita pada 7 Disember lalu yang mendakwa empat kanak-kanak didera.
“Bertindak daripada laporan oleh wanita tempatan itu, polis menahan suspek pada keesokan harinya iaitu pada 8 Disember dan dia turut direman selama enam hari selain kini sedang ditahan di Penjara Jawi.
“Selain siasatan di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penderaan kanak-kanak, suspek juga dituduh di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai video yang tular di dalam media sosial Twitter sejak semalam berhubung insiden seorang wanita yang dipercayai pengasuh menampar pipi seorang kanak-kanak yang hanya memakai lampin dengan kuat termasuk menarik tangan kanak-kanak terbabit.
Dalam pada itu, pemilik akaun Twitter terbabit turut mendakwa laporan polis sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil kerana polis mendakwa wanita terbabit mengalami masalah mental.
Sementara itu, Soffian menasihatkan orang ramai menyemak maklumat atau fakta sesuatu kejadian terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya di mana-mana platform media sosial.
Jelas beliau, tindakan menyebarkan sesuatu kejadian tanpa fakta sebenar boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat selain boleh menjejaskan imej serta integriti jabatan yang terlibat.
Ditanya sama ada polis akan mengambil tindakan terhadap dakwaan kononnya tidak mengambil tindakan berhubung kes itu, Soffian berkata, pihaknya akan berbincang berhubung tindakan seterusnya yang boleh diambil. – UTUSAN










