DHAKA: Bangladesh telah menaikkan harga runcit bahan api antara 10 hingga 15 peratus, di tengah-tengah perang Iran dengan Amerika Syarikat (AS) yang bermula pada 28 Februari lalu dan masih belum berakhir.
Ini kerana susulan lonjakan mendadak harga minyak mentah global dan gangguan bekalan akibat konflik yang sedang berlarutan di Asia Barat.
Kementerian Tenaga dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa di bawah kadar baharu tersebut, harga petrol kini dijual pada 135 taka (RM4.34) seliter berbanding 116 taka (RM3.74) sebelum ini.
Harga diesel pula ditetapkan pada 115 taka (RM3.70) manakala kerosin pada 130 taka (RM4.18).
Pegawai kerajaan menjelaskan bahawa kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan peningkatan harga minyak mentah, gangguan rantaian bekalan, kos pengangkutan dan insurans yang lebih tinggi telah melonjakkan perbelanjaan import sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Situasi ini menjadi semakin meruncing selepas harga minyak melonjak sepanjang tujuh minggu krisis perang di Iran berlaku.
Peningkatan kos bahan api ini memberi tekanan hebat kepada rizab pertukaran asing Bangladesh yang sememangnya sudah terjejas, memandangkan negara Asia Selatan itu sangat bergantung kepada bahan api import.
Sebelum ini, kerajaan cuba melindungi pengguna melalui pemberian subsidi, menangguhkan pelarasan harga, memperketat kawalan stok dan mempelbagai sumber bekalan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengakui langkah-langkah tersebut semakin sukar untuk dikekalkan apabila harga global terus melambung tinggi.
Susulan itu, Dhaka dilaporkan telah memohon pembiayaan luar melebihi AS$2 bilion (RM7.9 bilion) bagi menjamin kelangsungan import tenaga negara.
Kekurangan bekalan bahan api telah menyebabkan barisan panjang di stesen-stesen minyak, dengan pihak berkuasa menyalahkan tindakan pembelian panik dan aktiviti menyorok bekalan sebagai punca keadaan menjadi semakin buruk.
Kenaikan harga terbaharu ini dijangka menambah tekanan inflasi, terutamanya dalam sektor pengangkutan dan pertanian yang banyak menggunakan diesel. Ia dikhuatiri bakal melonjakkan lagi harga makanan serta kos sara hidup secara keseluruhan.
Bangladesh kini menyertai senarai negara yang terpaksa melaraskan harga bahan api domestik sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan pasaran minyak global. – AGENSI










