PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki yang dipercayai membuat hantaran di media sosial berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, tangkapan secara berasingan itu dilakukan ekoran hantaran di Facebook dan Tiktok yang kecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.
Katanya, tangkapan pertama melibatkan pemilik Facebook ‘Muhammad Farhan’ berusia 32 tahun di Gombak, Selangor, semalam.
“Bagi tangkapan kedua di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini membabitkan seorang pengendali akaun Tiktok berusia 33 tahun iaitu @azwanar90.
“Suspek pertama direman tiga hari sehingga lusa manakala suspek kedua ditahan reman sehingga Isnin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jelasnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.
“Elakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu agama, kaum dan institusi Diraja (3R).- UTUSAN










