Dewan Rakyat: RM23 bilion kerugian akibat jenayah scam 

Dewan Rakyat: RM23 bilion kerugian akibat jenayah scam 

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM687 juta kerugian direkodkan yang berpunca daripada jenayah penipuan (scam) dan pelbagai bentuk penipuan sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh bagaimanapun berkata, jumlah kes yang direkodkan pada 2023 menurun kepada 19,220 kes berbanding 25,609 pada 2018.

Kerugian keseluruhan yang dicatatkan sejak 2018 mencecah RM23 bilion.

Katanya, dari 2021 hingga Julai 2023, sebanyak 183 pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan manakala 22,837 pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. 

“Daripada jumlah ini, seramai 2,221 orang dijatuhi hukuman,” katanya semasa sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz [PN-Tanah Merah] berkaitan jumlah kerugian dan bilangan mangsa penipuan.

Sehubungan itu, Ramkarpal berkata, pelbagai tindakan dan langkah diambil kerajaan dalam menangani jenayah scam membabitkan Pusat Anti-Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, NFCC yang menerajui penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan menerima 53,783 panggilan dari Oktober 2022 sehingga 30 September 2023 merangkumi laporan kes penipuan dan khidmat nasihat.

“Antara langkah diambil NFCC ialah meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang perlu dipinda termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.

“PDRM juga mewujudkan laman web ‘Semak Mule’ bagi kemudahan orang awam membuat semakan ke atas akaun bank dan nombor telefon yang pernah ada laporan polis atau terbabit dengan siasatan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, katanya, SKMM menyekat 2.6 bilion panggilan yang disyaki terbabit dalam perlakuan jenayah dalam talian setakat September lalu.

Katanya, SKMM secara bersepadu dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan  (NSRC) mengambil tindakan sekatan nombor telefon yang diguna oleh scammer.

“Dari Oktober 2022 sehingga Ogos 2023, sebanyak 1,732 kes diterima dan dirujuk kepada MCMC, 134 nombor talian ditamatkan kerana terbabit dengan aktiviti penipuan dan 21 nombor talian meragukan disekat.

“Sejak 1 Januari sehingga 31 Ogos 2023, sejumlah 1,247 laman sesawang berkaitan penipuan untuk pemancingan maklumat (phishing) disekat oleh MCMC,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya