KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menentukan nasib terhadap salah seorang Ahli Parlimennya yang sebelum ini mengisytihar sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun, kekal sebagai pembangkang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.
“Dalam sehari dua (kita akan adakan mesyuarat) selepas itu, kita akan buat (keputusan),” kata Ahli Parlimen Larut itu kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan parti komponen PN hanya mengambil tindakan drastik dengan memberhentikan keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid sekiranya bertukar kerusi dan duduk di blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Hal ini selepas Iskandar Dzulkarnain dilaporkan menyokong dasar-dasar Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Anwar, namun ingin kekal sebagai pembangkang.
12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dilaporkan mengisytihar sokongannya kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasan diwakilinya.
Tegasnya, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu biarpun keputusan itu bakal menyebabkannya berdepan risiko dikenakan tindakan disiplin oleh parti.
Untuk rekod, Anwar tidak membuat sebarang kenyataan umum meletakkan syarat ahli Parlimen pembangkang yang pada masa ini tidak mendapat peruntukan Persekutuan untuk memberi perkhidmatan kepada pengundi mereka bagi menyokong dasar kerajaan bagi mendapat peruntukan itu.
Sebaliknya, Anwar dan ahli Parlimen kerajaan yang lain berkali-kali memberitahu ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mendapatkan peruntukan yang sama dan memberi jaminan bahawa kerajaan terbuka kepada perbincangan sedemikian.
13 Oktober lalu, PN mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Hamzah berkata, tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.
Jelasnya, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.
Bagaimanapun, SPRM menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain manakala dakwaan pihaknya mengugut ahli Parlimen itu adalah bertujuan mencemarkan nama baik SPRM.
Sementara itu, Hamzah dalam sidang Dewan Rakyat hari ini menggesa supaya kerajaan Malaysia menggunakan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) menggerakkan misi keamanan dan menghentikan kekejaman rejim Israel di Palestin.
Ketua pembangkang itu berkata, tidak salah jika Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan proaktif dan berani untuk memulakan misi keamanan di sempadan Gaza.
“Kuasa ekonomi Islam dunia seramai lebih dua bilion orang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi tekanan kepada rejim Israel serta sekutunya.
“PN menyeru Kerajaan Malaysia untuk menyuarakan secara lantang usaha bagi membangktikan kesedaran umat Islam dunia dan untuk membalas setiap kekejaman, kebiadapan dan kesombongan Israel,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaru Israel ke atas Hospital Al-Ahli yang penuh sesak di Genting Gaza selain disahkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).
Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
Kata Hamzah, masyarakat Islam dunia perlu mengheret rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan memberi keadilan kepada masyarakat Islam di Palestin
“Kita mahu melihat negara-negara besar ini benar-benar mengakui yang salah tetap salah, yang kita mahukan kebenaran bahawa Palestin sebuah negara yang selama ini diceroboh zionis,” katanya.
Katanya, PN juga akan menggunakan semua saluran untuk membantu umat Islam Palestin mendapat pengadilan yang sewajarnya.
“Kami akan terus menggunakan semua saluran dan rangkaian yang ada termasuk diplomasi antara rakyat kepada rakyat bagi memastikan Palestin mendapat keadilan, pembelaan dan bantuan semua peringkat,” katanya.