KUALA LUMPUR: Pemberian insentif pengeluaran getah memberi manfaat kepada 217,705 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM474.54 juta sejak ia dilaksanakan pada 2015.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kadar insentif itu kini dinaikkan menerusi kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400
juta.
“Kenaikan kadar insentif ini diharap dapat meringankan beban pekebun kecil ketika mana berlakunya ketidaktentuan dalam paras harga getah,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Projek Rintis Insentif Pengeluaran Lateks yang ditambahbaik dengan beberapa pemberian insentif.
Antaranya, katanya, kadar insentif bulanan dinaikkan kepada RM2.00 sekilogram (100 peratus kandungan getah kering) daripada RM1.00 (100 peratus kandungan getah kering); kadar bayaran insentif penyertaan berjumlah RM200 sebulan dengan tempoh terhad selama setahun.
Katanya lagi, kadar bayaran insentif galakan juga diperkenalkan berjumlah RM100 sebulan dengan tempoh terhad selama setahun dan insentif produktiviti berdasarkan produktiviti tahunan yang mencapai sasaran.
“Usaha ini akan melibatkan pekebun kecil menjual lateks yang dihasilkan terus ke kilang yang mana kos pengangkutan akan dapat dikurangkan dan pekebun kecil akan menerima harga yang lebih baik.
“Projek rintis ini dimulakan di Sungkai, Perak dan selanjutnya akan dilaksanakan di Kedah dan Sabah,” katanya.
Di samping itu, katanya, Projek Rintis Penggunaan Gas Stimulan turut dilaksanakan selepas meraih peruntukan RM10 juta dalam Belanjawan 2024 yang dijangka meningkatkan penghasilan pengeluaran getah tiga kali ganda dan jangka hayat pokok akan dapat dilanjutkan sehingga 25 tahun.
Katanya, Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara juga diperkenalkan dengan cara memendekkan rantaian bekalan dengan penglibatan pekebun dalam rantaian industri getah bagi menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil getah.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai langkah-langkah dan inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan bagi membantu pekebun kecil getah yang kini berhadapan dengan cabaran harga getah yang rendah. -UTUSAN










