Cuti bomba dibeku hadapi musim banjir

Cuti bomba dibeku hadapi musim banjir

ABDUL Wahab Mat Yasin (tengah) bergambar bersama penerima anugerah selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kira-kira 80 peratus daripada 13,475 pegawai dan anggotanya bagi bersiap -sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula November hingga Mac depan. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pembekuan cuti itu dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan situasi di setiap negeri dan daerah. 

“Sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan anggota yang ditugaskan sepanjang MTL akan dibekukan cuti sebagai persediaan menghadapi kejadian banjir. 

“Malah, 20 peratus lagi daripada anggota ditugaskan akan diberi kebenaran untuk bercuti, namun, tertakluk kepada keperluan dan situasi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM 2023 di Cheras hari ini. 

Dalam majlis tersebut, sebanyak 96 pegawai bomba yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Turkiye diberikan sijil penghargaan khas bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka.

Selain itu, Abdul Wahab serta tujuh pegawai pengurusan tertinggi jabatan dan pegawai kanan dianugerahkan dengan Bintang Wira Merah, Sayap Kehormat dan Sayap Anugerah. 

Dalam pada itu, Abd Wahab berkata, sebanyak 33 Pasukan Gerak Cepat MTL terdiri daripada pegawai dan anggota pelbagai kepakaran termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan kemahiran pengendalian bot serta anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, mereka ini akan bersedia setiap hari di lokasi ditetapkan bagi memberikan respon dengan lebih cepat dan berkesan. 

“Pasukan Gerak Cepat ini ada di setiap negeri di Semenanjung yang bersedia lebih awal untuk membantu mana-mana daerah ataupun pusat terbabit dengan banjir bagi operasi pemindahan mangsa banjir serta penyelamatan ketika MTL,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN