PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengadakan pemilihan melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan peringkat bahagian pada tahun ini.
Ini susulan keputusan parti itu menangguhkan pemilihan sehingga tempoh 18 bulan pada Mei lalu antara sebabnya bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri, Ogos lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menjelaskan, partinya tidak mengadakan pemilihan pimpinan tertinggi tahun ini kerana pemilihan di peringkat cawangan perlu diadakan terlebih dahulu yang dijangka pada hujung tahun ini.
Oleh sebab itu, beliau menganggap tidak wajar bagi mana-mana pihak memainkan isu pemilihan pimpinan tertinggi Bersatu buat masa ini.
“Ramai yang tidak faham soal pemilihan Bersatu, hakikatnya tiada pemilihan peringkat pimpinan tinggi parti dan bahagian tahun ini, hanya peringkat cawangan diadakan kerana kita tangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan, bukan dalam tempoh 18 bulan.
“Jadi, untuk mengatakan akan ada pemilihan pimpinan tertinggi tahun ini, ia tidak mungkin dan mustahil. Kalau nak tahu mengenai kedudukan presiden dan sebagainya, ini bukan masa yang sesuai. Lagipun, yang mahu buat pemilihan dalam masa terdekat adalah Pas, bukan Bersatu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas dakwaan pemilihan parti yang akan diadakan selepas menghadapi dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.
Malah, akhbar ini semalam melaporkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan wujudnya dua kem antara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Bagaimanapun, Razali menyifatkan, tidak timbul soal dua kem dalam partinya buat masa ini kerana tumpuan sepenuhnya diberikan kepada pemilihan peringkat cawangan dan negeri.
“Salah satu sebab kita tangguhkan pemilihan kerana kita mahu betulkan cawangan dahulu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Contohnya, di Sabah kita nak betulkan sebab di sana mereka keluar parti, YB-YB (Yang Berhormat) keluar parti.
“Jadi, kita juga nak bersidang nanti supaya dapat lantik perwakilan baharu, sebab dalam tempoh beberapa bulan ini lepas pilihan raya, ada ahli yang keluar masuk, sebab itu pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan dahulu,” katanya. – UTUSAN










