JOHOR BAHRU: Belanjawan Johor 2024 yang bakal dibentang pada 23 November ini akan turut memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, termasuk aspek keselamatan makanan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya berhasrat merealisasikan matlamat menjadikan negeri ini sebagai ‘food bank’ demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu katanya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, minggu depan.
“Kita akan umumkan Belanjawan Johor pada 23 November ini. Ia semestinya satu perkara yang penting kerana kita akan lihat apakah langkah dan usaha bagaimana untuk mengukuhkan keselamatan makanan di negeri ini.
“Usaha ini perlu kerana dalam suasana perubahan iklim semasa, kita jangka perkara ini tidak akan selesai begitu sahaja sebaliknya akan berterusan, jadi langkah sewajarnya perlu diambil.
“Kerajaan negeri akan jalin kerjasama erat dengan Pusat untuk memastikan Johor mampu menjadi ‘food bank’, bukan sahaja untuk Johor tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhannya,” katanya selepas hadir meninjau Program Jualan Rahmah di pekarangan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Sementara itu, Onn Hafiz turut memberitahu, kerajaan negeri akan terus memantau bekalan barangan keperluan asas di negeri ini kerana isu berkenaan menjejaskan rakyat secara keseluruhannya, termasuklah Bangsa Johor.
“Pada masa sama, kami turut menjunjung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mengurniakan 10,000 kampit beras kepada golongan memerlukan di negeri ini, kita jangka ia akan selesai diagih menjelang minggu depan.
“Sementara itu, berhubung program Jualan Rahmah ini, kerajaan negeri menyokong usaha sedemikian kerana akan memanfaatkan rakyat memerlukan. Program sedemikian akan dilaksana di semua kawasan Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN









