Bekas jurulatih ATM diberi keutamaan jadi jurulatih PLKN

Bekas jurulatih ATM diberi keutamaan jadi jurulatih PLKN

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam aspek kejurulatihan bakal diberi keutamaan sebagai jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal dilaksanakan di kem-kem tentera.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bagaimanapun ia tidak bermakna hanya kumpulan itu akan dipilih sebagai jurulatih PLKN, sebaliknya para veteran yang mempunyai kemahiran lain juga bakal mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Beliau berkata, jumlah tenaga kejurulatihan yang diperlukan bagi menjayakan PLKN di 13 kem askar Wataniah seluruh negara bakal diputuskan tidak lama lagi.

“Jumlah kita belum putuskan tetapi kita akan tengok struktur dan keperluan guna tenaga veteran itu sendiri. Sebenarnya kalau kita lihat di kalangan veteran, kita ada yang dalam pertahanan itu mereka adalah jurulatih dan sebagainya. Jadi mungkin kita akan guna daya upaya itu.

“Jadi dalam masa yang sama, yang lain pun ada keupayaan lain mungkin kita perlu berikan sedikit latihan supaya mereka pun boleh jadi sebahagian daripada jurulatih,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di tapak pembinaan Kompleks Akademi Al-Bayan di Pegoh di sini, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan, kerajaan boleh melantik veteran ATM menjadi jurulatih bagi PLKN.

Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Majlis Veteran Kebangsaan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengalaman dan kepakaran dimiliki veteran ATM boleh dikongsi bagi membantu kelancaran program itu.

Tambah Adly, peranan veteran ATM sememangnya diperlukan dan sudah dibincangkan bagi menjayakan PLKN, seterusnya menyelaraskan kira-kira 20,000 pelatih untuk latihan selama 45 hari.

Jelasnya, ini kerana meskipun dijalankan di kem-kem tentera sedia ada, peranan khusus pegawai dan anggota tentera dalam memastikan keselamatan negara tidak boleh dibebankan dengan tugas melatih pelatih PLKN.

“Memanglah kalau kita lihat tujuan PLKN itu diadakan adalah untuk memberikan lebih banyak latihan terutamanya di kem-kem Wataniah. Kita tahu bila hendak melatih itu, anggota pertahanan mempunyai tanggungjawab mereka tetapi anggota veteran boleh kita manfaatkan.

“Jadi itu memang salah satu dari awal memang kita bincangkan, cuma bilangannya dan siapa yang terlibat itu akan kita kemas kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN