Bapa bersyukur WAZAN UPM bantu yuran pengajian anak

Bapa bersyukur WAZAN UPM bantu yuran pengajian anak

FERRLYN MELVIA ANAK LUCAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Masalah kewangan ekoran diberhentikan kerja tidak menjejaskan hasrat seorang bapa untuk terus memastikan dua anaknya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bapa pelajar yang ditawarkan ke Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Lucas Anak Fracis dari Bakun, Sarawak bersyukur kesukaran yang ditanggungnya mendapat perhatian daripada pihak UPM yang memudahkan urusan pembayaran yuran anaknya.

“Pada Ogos lalu saya diberhentikan kerja sebagai pembantu pengurus ladang sawit.

“Pada masa yang sama seorang anak saya mendapat tawaran belajar di UPM dan seorang lagi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ini menyebabkan saya sa­ngat sedih pada awalnya kerana memerlukan RM6,000 bagi menampung kos pendaftaran dan perbelanjaan kedua-dua orang anak,” ujarnya.

Namun Lucas bersyukur kerana UPM memudahkan urusan ibu bapa yang memerlukan seperti kami. UPM memberi peluang kepada anaknya, Ferrlyn Melvia menyambung pelajaran dan mengubah kehidupannya.

“Saya sebagai bapa sangat bersyukur anak saya diberi peluang mendaftar masuk ke UPM. Hanya dengan pendidikan boleh ubah taraf hidup seseorang. Saya yang be­kerja di ladang sawit dengan pendapatan tidak seberapa ini ingin melihat anak-anak berjaya,”ujarnya.

Tambah beliau, anaknya yang berjaya ditawarkan memasuki UPM telah mendaftar Ahad lalu selepas melalui perjalanan selama empat hari sejak Khamis lalu.

Sementara itu, Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM, turut memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan menerusi Bantuan Zakat Pelajar seperti bantuan sara diri pelajar, bantuan yuran pengajian dan bantuan latihan industri.

Pegawai WAZAN UPM, Syazana Masturah Othman berkata permohonan akan dibuka setiap semester mengikut tarikh yang ditetapkan dan setiap bantuan mempunyai ciri-ciri kelayakan yang tersendiri.

“Bagi bantuan yuran pengajian akan dibuka kepada pemohon yang tidak mendapat pinjaman pendidikan, tajaan atau biasiswa sahaja.

“Bantuan sara diri pula dibuka untuk pelajar yang mempunyai tajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mana-mana biasiswa di bawah RM4,000 setiap semester,” katanya.

Tambahnya, bagi pelajar bukan Islam pula bantuan akan diberikan melalui dana endowmen bagi meringankan beban kewangan merka yang berkeperluan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×