Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi: Masih ada agensi kerajaan belum laksanakan - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi: Masih ada agensi kerajaan belum laksanakan

AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih terdapat kementerian, jabatan dan agensi yang belum melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sepenuhnya.

Ahli Dewan Negara, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, perkara itu berdasarkan Program Audit Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 2013.

Beliau yang juga bekas Pe­ngerusi Lembaga Pengelola DBP berkata, ia melibatkan mesyuarat yang masih dilaksanakan dalam bahasa lain atau bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa lain.

“Begitu juga agak banyak penjenamaan institusi dan program kerajaan yang digubal dalam bahasa lain.

“Penggunaan bahasa Mela­yu di tempat awam satu lagi isu besar tentang taraf bahasa Me­layu sebagai bahasa rasmi ke­rana masih banyak bahasa iklan, nama perumahan dan bangunan yang dalam bahasa asing.

“Dalam bidang pendidikan, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi kian mengecil pe­ranannya kerana nilai rendah yang diberikan kepada bahasa Melayu dalam penerbitan ilmiah dan kuliah.

“Dalam aspek kedua, program Audit Bahasa Melayu menilai mutu bahasa di badan-badan kerajaan, dan mendapati masih terdapat kesilapan bahasa dalam dokumen, paparan di premis pejabat dan di tempat awam.

“Alhamdulillah kedua-dua aspek, iaitu taraf dan mutu bahasa banyak meningkat sebagai kesan program Audit Bahasa Melayu di badan-badan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau ditanya sama ada pihaknya melihat banyak ke­salahan bahasa daripada institusi awam mahupun swasta sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan supaya semua pihak yang mahu mengutus surat rasmi kepada kerajaan diwajibkan menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Perdana Menteri memberi peringatan itu kelmarin, terutama pihak dalam kalangan syarikat tempatan atau institusi pengajian tinggi untuk mengutamakan perkara itu.

Beliau menegaskan, sesiapa sahaja menulis selain daripada Bahasa Kebangsaan, surat itu akan dipulangkan semula.

Mengulas lanjut Awang Sariyan berkata, arahan Anwar itu menepati Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Namun katanya, perlu jelas bahawa maksud bahasa rasmi meliputi semua urusan rasmi secara bertulis dan lisan.

“Dalam urusan bertulis, bukan hanya surat-menyurat bahkan semua dokumen diliputi, seperti pekeliling, minit mesyu­arat, memo, memorandum, laporan dan maklumat peragaan di premis pejabat.

“Urusan rasmi dalam bentuk lisan meliputi mesyuarat, taklimat, perhimpunan, perbinca­ngan, seminar dan forum.

“Oleh itu, arahan Perdana Menteri perlu disusuli oleh penjawat awam, khasnya di peringkat pemimpin kementerian, jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ketua eksekutif badan swasta. Jika tidak, arahan akan tinggal sebagai arahan,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.