Apa nasib keluarga kami di Palestin?

Apa nasib keluarga kami di Palestin?

ABDALLAH Jomaa Jamel Hasanain (dua dari kanan) dan sebahagian pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) yang berasal dari Palestin mengibar bendera negara itu bersama kakitangan AIU di kampus Alor Setar. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tempoh dua ming­gu ini sangat mendebarkan bagi pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dari Palestin tatkala terputus hubungan dengan keluarga masing-masing yang berada di Semenanjung Gaza.

Tambahan selepas insiden serangan terbaharu rejim zionis Israel di Hospital al-Ahli Arab di tengah Gaza menyebabkan mereka tidak mengetahui nasib ahli keluarga masing-masing.

Adnan Madi, 20, yang berasal dari Gaza berkata, dia masih gagal menghubungi keluarganya sejak kelmarin dan hanya mampu berdoa tiada sesuatu yang buruk menimpa mereka.

“Dua hari sebelum ini saya masih berhubungan dengan menghantar mesej kepada mereka tetapi semalam saya gagal berbuat demikian. Mesej yang saya hantar tidak berbalas dan panggilan juga tidak berangkat.

ADNAN MADI

“Saya benar-benar risau. Saya dapat maklumat penempatan kami kena bom dan saya berdoa keluarga saya selamat. Saya pernah nasihatkan keluarga berpindah dari situ namun kata mereka dalam keadaan sekarang mereka boleh terbunuh di mana-mana sahaja, saya faham perasaan mereka,” katanya ketika ditemui di kampus AIU, di sini semalam.

Pelajar tahun dua Sains Komputer itu adalah salah seorang daripada 17 pelajar AIU dari Pa­lestin yang menyambung pengajian di kampus itu di bawah tajaan Yayasan Albukhary dan sembilan daripada mereka berasal dari Semenanjung Gaza.

Sementara itu, Abdallah Jomaa Jamel Hasanain, 20, berkata, kali terakhir dia menghubungi keluarganya pada 6 Oktober lepas sebelum lokasi rumah mereka di­serang tentera Zionis Israel.

“Sudah dua minggu, saya tidak mendapat khabar dari ibu bapa serta adik beradik saya. Saya risau tentang mereka dan semua yang berada di Gaza ketika ini. Marah dan sedih dengan apa yang terjadi.

“Saya hanya mampu berdoa agar mereka selamat dan saya berpeluang bertemu dengan mereka lagi nanti. Tentera Zionis Israel menyerang penempatan kami di sana dan semua kemudahan telekomunikasi diputuskan,” katanya.

Abdallah yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia tidak dapat membayangkan kesengsaraan yang ditanggung keluarga dan penduduk Gaza ketika ini setelah rumah mereka musnah.

“Saya sendiri tak tahu bagaimana keadaan keluarga dan rumah, saya cuma mengetahui khabar melalui laporan-laporan berita.

“Saya tahu mereka tak ada makanan dan air bersih untuk diminum. Kadangkala rasa kecewa kerana saya di sini dan keluarga di sana tetapi saya percaya ini adalah takdir,” kata pelajar tahun satu jurusan Sains Komputer ini.

Abdallah yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia tidak dapat membayangkan kesengsaraan yang ditanggung keluarga dan penduduk Gaza ketika ini setelah rumah mereka musnah.

Ahmed Mohamed Ali Alnanai, 22, pula berkata, abangnya nyaris terbunuh akibat serangan bom di kawasan penempatan mereka baru-baru ini.

“Ketika itu abang berada di balkoni rumah tetapi dia terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum beredar. Rumah saya terkena bom itu namun semua keluarga saya terselamat. Alhamdulillah.

“Situasi amat genting sekarang dan tiada tempat selamat untuk mereka diami. Saya di sini hanya mampu berdoa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×