Anwar prihatin selesai masalah air Labuan - Anifah - Utusan Malaysia

Anwar prihatin selesai masalah air Labuan – Anifah

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Labuan akhirnya dapat menantikan penyelesaian masalah air mereka selepas peruntukan untuk pembaikan paip air dan infrastruktur berkaitan air diperuntukan melalui Belanjawan 2024 hari ini.

Senator yang mewakili Labuan, Tan Sri Anifah Aman menyifatkan, bajet itu menunjukkan Anwar prihatin terhadap penduduk Labuan dan mahu menyelesaikan masalah mereka.

Beliau yakin berita itu pasti akan disambut dengan baik di Labuan kerana penduduk telah lama menderita disebabkan kekurangan bekalan air bersih.

Pada masa sama, Anifah juga merafak sembah terima kasih kepada Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah atas perhatian Baginda terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk Labuan dan Sabah.

“Baginda mengambil masa untuk melawat Sabah dan Sarawak dan mendengar suara rakyat. Bahkan baginda membaca semua surat yang diberikan kepada baginda dan berkongsi rintihan rakyat kepada Perdana Menteri, agar suara rakyat didengar oleh Kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Anwar dilapor mengumumkan sebanyak RM1.1 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan, Sabah, dan Kelantan.

Mengulas lanjut, Anifah turut menghargai usaha kerajaan untuk menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) sebagai hab kewangan Islam yang patuh syariah sepenuhnya.

Beliau berkata, insentif pengecualian cukai sepenuhnya selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti kewangan atau perdagangan yang berkaitan dengan Kewangan Islam pasti dapat meningkatkan potensi Labuan untuk menarik pelabur teknologi kewangan yang pakar dalam kewangan Islam.

“Pengecualian cukai selama lima tahun adalah insentif yang baik untuk menarik pelabur ke Labuan untuk menjalankan aktiviti kewangan atau perdagangan yang berkaitan dengan kewangan Islam.

“Apabila pelabur sektor ini masuk ke Labuan, ekonomi akan berkembang, mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan taraf ekonomi,” tambahnya.

Sementara itu, Anifah yang juga Penasihat Khas Hubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan RM6.6 bilion untuk dana pembangunan Sabah.

Beliau juga menyambut baik penurunan kuasa pengawalseliaan bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah yang sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dengan pemberian kuasa untuk mengawalselia elektrik, saya berharap Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Sabah dan Labuan,” tambahnya.

Anifah juga mengucapkan penghargaan terhadap peruntukan RM7.4 bilion untuk Fasa 2 Jalan Hubungan Sabah Sarawak (SSLR), yang akan meningkatkan keadaan jalan di Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya