PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kaherah, Mesir bagi lawatan kerja selama satu hari ke negara tersebut.
Menurut Anwar, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi hari ini.
“Saya dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi esok (hari ini), Insya-Allah,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada pukul 8.16 malam waktu tempatan (1.16 pagi, 23 Oktober waktu Malaysia) disambut Menteri Pertanian dan Penebusgunaan Tanah Mesir, Mohamed El-Quseir.
Abdel Fattah merupakan pemimpin negara yang ketiga ditemui Anwar selepas Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan dalam lawatan kerja beliau ke luar negara sejak Khamis lalu.
Sebelum ini, Perdana Menteri tiba di Riyadh sejak Khamis lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Di Riyadh, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr. Mohammad Abdul Karim Al-Issa untuk berbincang berkisar isu serangan Israel terhadap Palestin.-UTUSAN










