KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengakui berasa sangat kecewa dan terguris hati dengan pemimpin Pas yang melabelkan pemimpin-pemimpin parti itu sebagai kafir.
Beliau berkata, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak pernah melontarkan gelaran itu terhadap DAP.
Sehubungan itu, Rayer berkata, perkataan kafir tidak harus dinormalisasi dalam Parlimen kerana sangat mengguris hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa.
“Apakah kenyataan ini adalah sesuatu yang dinormalisasi dalam Parlimen? Isu ini telah diberi liputan meluas media massa termasuk di Singapura.
“Jadi, saya minta supaya Speaker membuat peraturan tidak membenarkan pihak di sana (pembangkang terutama Pas) memulakan atau mengulangi kenyataan kafir.
“Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa terguris hati dengan kenyataan ini, malah saya sendiri hampa dengan kenyataan itu,” katanya dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor menerima cadangan tersebut dan memberitahu supaya Rayer mengusulkan perkara itu ke Pejabat Dewan Rakyat.
Semalam, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menarik balik kenyataannya selepas didakwa menuduh DAP kafir di Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat selepas Rayer menyifatkan kenyataan itu kurang sopan dan biadab kerana DAP juga diwakili Ahli Parlimen yang beragama Islam.
Ramli kemudian menyifatkan penjelasan tersebut munasabah dan bersetuju bahawa DAP juga diwakili orang Islam dan meminta Ahmad Marzuk menarik balik kenyataannya.
Ahmad Marzuk bagaimanapun mempertahan kenyataannya dan berkata ia disalah tafsir kerana hanya mengambil contoh kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang melabelkan parti itu sebagai kafir harbi.
“Dalam bahasa percakapan ilmu seni bahasa Arab bermaksud, “Kita sebut secara menyeluruh tetapi yang kita maksudkan hanyalah tertentu’. Jadi yang saya maksudkan, Jelutong kafir…Ipoh Timur (Howard Lee Chuan How) kafir…saya sebut umum tapi khusus kepada yang tertentu.
“Kalau itu disalah tafsir, saya tarik balik, tetapi saya sebut DAP kafir harbi yang didakwa oleh Mufti Pahang, kita tidak setuju kerana ia memberi kesan yang sangat besar,” katanya semalam. – UTUSAN










