Kerajaan perkasa pendidikan, digital luar bandar 

Kerajaan perkasa pendidikan, digital luar bandar 

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha memperkasa pendidikan dan pendigitalan luar bandar menjadi fokus utama kerajaan dalam mempercepat lonjakan pembangunan desa, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penekanan itu diputuskan dalam Mesyuarat High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa Kali Ke-3 sebagai langkah strategik selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, mesyuarat yang melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama rakan strategik merumuskan pendekatan bersepadu merentas kementerian bagi membangunkan ekosistem desa lebih moden, inklusif dan berdaya tahan.

“HLC menekankan keperluan memperluas akses pendidikan, memperkukuh ekosistem digital serta menambah baik tadbir urus secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan luar bandar lebih berkesan.

“Antara keputusan penting, kerajaan akan mempertingkat infrastruktur sekolah luar bandar melalui kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), khususnya melibatkan kerja pembaikan dan naik taraf kecil di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu, menurutnya, HLC bersetuju menyelaras semula fungsi pendidikan awal kanak-kanak di kawasan Felda dengan penyerahan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) secara berfasa bermula Jun ini bagi mengurangkan pertindihan dan meningkatkan kualiti penyampaian berasaskan kurikulum kebangsaan.

Jelasnya, ekosistem pendigitalan luar bandar akan diperkemas melalui kerjasama strategik antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah KKDW bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“Pendekatan ‘whole-of-government’, ‘whole-of-society’ dan ‘data-driven governance’ akan terus diperkasakan menjelang 2026 bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih cekap dan berimpak tinggi.

“Komitmen ini penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar terus dipertingkat secara inklusif dan mampan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×