Harga naik RM300, tempahan lembu untuk korban perlahan

Harga naik RM300, tempahan lembu untuk korban perlahan

MUZAKKIR Mansor (kiri) bersama rakan kongsinya Che Mohd. Faizul Che Abdullah menunjukkan lembu yang dijual untuk ibadah korban Khir Bitara Farm di Kampung Pulau Raja, Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Penternak di Kelantan terpaksa menaikan harga lembu korban sebanyak RM300 seekor selepas tidak mampu ‘menyerap’ peningkatan kos membela haiwan tersebut susulan musim kemarau panjang yang sedang melanda negeri ketika ini.

Pemilik Khir Bitara Farm, Muzakkir Mansor, 41, berkata, harga diesel yang masih belum stabil ketika ini susulan konflik Asia Barat turut menyebabkan kos penghantaran haiwan tersebut turut meningkat.

“Bila panjang, bekalan rumput segar berkurang. Jadi, kami terpaksa dapatkan makanan tambahan seperti jerami dari luar untuk memastikan tumbesaran lembu tidak terbantut. Biasanya kita ambil (jerami) satu trip sebulan sebagai sokongan yang mengandungi kira-kira 24 tongkol (jerami).

“Kalau sebelum ini kos penghantaran sekitar RM800 hingga RM900 satu trip, sekarang mencecah RM1,000. Kos diesel dan logistik juga naik, termasuk penghantaran lembu yang dahulunya sekitar RM80 kini boleh mencecah RM120,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pulau Raja, Sungai Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muzakkir mengakui situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, sekali gus menyaksikan tempahan bergerak perlahan.

Katanya, dia menjangkakan permintaan akan meningkat pada saat akhir seperti trend tahun-tahun sebelum ini, khususnya dalam tempoh seminggu sebelum Aidiladha.

“Setakat ini hanya kira-kira 20 ekor lembu korban telah ditempah. Kalau ikutkan, kita ada lebih 100 ekor dan boleh sediakan sehingga ratusan ekor dengan sokongan luar.

“Jika pelanggan nak 50 atau 100 ekor pun kita boleh uruskan, tetapi perlu tempahan awal,” ujarnya.

Muzakkir berkata, kebanyakan tempahan ketika ini tertumpu di Kelantan.

Katanya, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi memudahkan urusan pelanggan, dengan penghantaran dibuat lebih awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang perayaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN