552 fasiliti kesihatan berisiko hadapi banjir - Utusan Malaysia

552 fasiliti kesihatan berisiko hadapi banjir

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kementerian Kesihatan menyediakan 453 fasiliti kesihatan sebagai pelan sokongan sekiranya klinik dan pusat kesihatan lain berdepan situasi banjir.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya telah mengenal pasti 552 di seluruh negara yang kemungkinan berisiko untuk dilanda banjir dan dijangka berlaku pada hujung tahun ini.

“Kalau betul-betul banjir kita sudah ada persediaan klinik untuk mengambil alih tugasan daripada klinik tersebut.

“Secara keseluruhannya persediaan banjir dan rasanya kita lebih bersedia dan persediaan itu ada pelbagai.

“Kita bekerjasama dengan NADMA sebagai agensi pusat dan di peringkat negeri kita buat persediaan daripada sudut petugas, peralatan, ubat-ubatan dan kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Klinik Kesihatan Chemomoi di sini hari ini.

Dr. Zaliha berkata, pihaknya juga membuat persediaan daripada perkhidmatan rawatan dan psikologi kepada mangsa-mangsa banjir.

“Di peringkat negeri kita ada bekerjasama dengan jawatankuasa bencana negeri dan daerah dan disitu ada melakukan simulasi. Setakat ini memang kita telah bersedia,” katanya.

Ketika ditanya sama ada cuti anggota kesihatan dibekukan, beliau berkata setakat ini, ia hanya membabitkan anggota Kabinet.

Dr. Zaliha berkata, pihaknya telah mengenal pasti 28 projek sakit di seluruh negara dan ia sedang dipantau.

Katanya, pihaknya akan menamatkan kontraktor jika tidak menunjukkan kemajuan dalam projek tersebut.

“Ada projek-projek kita ada yang dalam perhatian Jabatan Kerja Raya dan kita minta sama ada JKR boleh meneruskan atau tidak, kalau tidak kita akan terminate kontraktor yang tidak menunjukkan progres kepada kerja-kerja mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN