53,783 panggilan aduan ditipu dalam 16 bulan

53,783 panggilan aduan ditipu dalam 16 bulan

myairline
RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 53,783 panggilan aduan bersifat scam direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh 16 bulan sejak Oktober 2022 hingga bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah panggilan tersebut, sebanyak 20,796 kes penipuan dalam tempoh 24 jam dicatatkan berlaku dengan kerugian kira-kira RM187.46 juta.

“NSRC dilihat berkesan bagi mangsa penipuan membuat aduan secara mudah dengan hanya mendail nombor 997.

“Sebaik sahaja aduan mangsa diterima, NSRC yang turut dibantu institusi kewangan, mampu mengesan jejak kewangan mangsa jika kes berlaku dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya wang mangsa dikesan masih berada di dalam sistem perbankan, tindakan sekatan bagi menghalang wang tersebut ke tangan scammer boleh dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurut Ramli, pihaknya mengesan kira-kira 180,000 akaun keldai sejak 2015 hingga September lalu disyaki digunakan scammer untuk menipu mangsa.

Kata beliau, akaun-akaun berkenaan dipercayai dibuka individu tertentu sebelum ‘disewa atau dipinjamkan’ kepada sindiket penipuan dengan bayaran ribuan ringgit setiap satu.

“Bagaimanapun, terdapat juga pemilik akaun yang tidak menyedari akaun bank mereka digunakan sindiket penipuan.

“Malah, terdapat beberapa akaun yang dikesan polis telah digunakan untuk 12 transaksi penipuan dan kemudian kita akan sekat jika terdapat laporan diterima membabitkan akaun itu. Bagi tahun ini sahaja, kita telah mengesan kira-kira 48,000 akaun dipercayai digunakan sindiket penipuan,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memberi maklumat perbankan kepada orang tidak dikenali.

“Ada antara pemilik akaun sebenarnya mangsa kepada sindiket berkenaan malah terdiri daripada golongan muda.

“Sebelum membuat sebarang tindakan, orang ramai boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun di laman web ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat sebarang transaksi.

“Tindakan ini dapat mengelak daripada menjadi mangsa scammer dan wang lesap sebegitu sahaja,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, sindiket penipuan kini aktif memperdaya entiti perniagaan di negara ini dengan menggodam emel syarikat bagi mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Ramli dilaporkan berkata, daripada tahun 2021 hingga Ogos lalu, sebanyak 132 kes membabitkan entiti perniagaan atau Business E-Commerce (BEC) dengan kerugian bernilai RM124.5 juta.

“Modus operandi sindiket penipuan dengan mencipta emel yang seakan sama dengan vendorberbentuk phishing bagi mengelirukan mangsa sebelum meminta pihak syarikat membuat pembayaran atau pembelian ke akaun bukan milik vendor.

“Contohnya, baru-baru ini kita berjaya menyekat transaksi ke Itali lebih RM20 juta yang dibuat oleh sebuah syarikat kepada ‘vendor’ yang sebenarnya scammer atas bantuan Bank Negara Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN