KUALA LUMPUR: Kira-kira 25,000 pekerjaan baharu diwujudkan dalam industri halal di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pekerjaan baharu itu terdiri daripada jawatan sebagai pengaudit dan pengamal halal dengan kerjasama beberapa universiti dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, ia melibatkan kepakaran halal dalam pelbagai bidang seperti farmaseutikal, perbankan, insurans dan lain-lain.
“Kita akan membantu meningkatkan lagi taraf makmal halal untuk melahirkan lebih ramai pakar-pakar yang membantu dalam pengeluaran sijil halal ini, malah, TVET yang saya ketuai juga akan melahirkan kelulusan pengauditan halal melalui TVET.
“Juga soal pengamal-pengamal dan pegawai-pegawai penasihat halal di industri-industri ini akan kita wujudkan,” katanya ketika merasmikan Program Halal On Track yang berlangsung di Universiti Malaya, hari ini.
Katanya, ia selari dengan keputusan kerajaan memendekkan proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan sijil halal kepada tempoh 23 hari bekerja yang diumumkan minggu lalu.
“Langkah ini adalah langkah pertama dan kita akan melakukan uji kaji terhadap memendekkan tempoh itu tanpa berkompromi dari segi kualiti dan juga dari segi beberapa piawaian yang ditetapkan dan tentunya langkah-langkah ini akan dapat memberikan lembaran baharu terhadap persijilan halal sebagai sijil yang terbaik dan diterima di seluruh dunia,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan untuk meneliti segala ramuan dalam produk-produk halal sama ada makanan, minuman farmaseutikal dan produk-produk yang lain.
“Ini kami akan lakukan penambahbaikan kerana ada beberapa elemen selama ini menjadi persepsi yang negatif oleh pihak pemacu industri.
“Kita lakukan ini dengan hasrat bahawa kita tidak mahu adanya sindrom penafian dan kita mengambil langkah-langkah ke hadapan untuk mengatasi persepsi ini,” katanya.
Nilai eksport halal Malaysia dijangka mencapai sebanyak RM63 bilion menjelang 2025 berdasarkan pencapaian memberangsangkan berjumlah RM60 bilion tahun lalu.
Halal Development Corporation (HDC) pula menyasarkan nilai dagangan produk halal Malaysia pada mencecah lebih RM200 bilion menjelang 2030.
Sasaran itu bagi mencapai ketetapan kerajaan daripada pelan induk industri halal Malaysia 2030, iaitu sebanyak 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). -UTUSAN










