PETALING JAYA: Tidak wujud kerajaan minoriti dalam mana-mana peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) serta istilah digunakan tidak boleh menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kerajaan minoriti hanyalah istilah politik dan kewujudannya tidak sah jika bercanggah dengan prinsip keluhuran UUTKNS.
Beliau berkata, sebarang pertikaian dalam pentafsiran peruntukan UUTKNS wajar dirujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan selaras dengan peruntukan sedia ada.
Katanya, Menteri Besar tidak wajar menjadi hakim dengan mencipta istilah politik untuk menghalalkan sesuatu yang bercanggah dengan peruntukan UUTKNS.
“Menteri Besar juga masih perlu menghadap Pembesar Memerintah yang merupakan Raja Pemerintah bersama Negeri Sembilan.
“Mendahului Pembesar Memerintah dengan membuat kenyataan sedemikian adalah bercanggah dengan UUTKNS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepadanya.
Susulan itu, lima ADUN dari Perikatan Nasional (PN) turut menyokong tindakan 14 orang ADUN itu menjadikan jumlah yang jelas Aminuddin sudah hilang kepercayaan majoriti ADUN.
Aminuddin berkata, beliau sudah menyembah maklum mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan baginda menitahkan supaya pentadbiran semasa diteruskan seperti biasa.
“Kita akan jalankan pentadbiran kerajaan (negeri) sedia ada sehingga ada keputusan jelas. Saya akan teruskan tugasan (sebagai Menteri Besar). Pentadbiran negeri akan terus berjalan sebagai kerajaan minoriti,” katanya pada sidang akhbar kelmarin.
Wan Ahmad Fauzi berkata, UUTKNS memperuntukkan di bawah Perkara 38 dan 40(2) bahawa Raja Pemerintah Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah terdiri daripada Undang Empat Yang Luak serta Tunku Besar Tampin hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hemat mereka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ADUN.
Katanya, jika Menteri Besar telah hilang kepercayaan majoriti ADUN, beliau perlu memohon kepada Raja Pemerintah untuk membubarkan DUN.
“Dalam keadaan itu, Raja Pemerintah mempunyai budi bicara sama ada memperkenankan pembubaran, menangguhkan atau tidak memperkenankannya.
“Jika pembubaran ditangguhkan atau tidak diperkenankan, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hendaklah meletakkan jawatan,” katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, amalan undi tidak percaya di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diputuskan sah oleh mahkamah sebelum ini dan pernah berlaku beberapa kali di peringkat Parlimen.
Katanya, akuan bersumpah (SD) adalah kaedah yang telah diterima sebagai konvensyen untuk mengukur sama ada Menteri Besar masih mempunyai kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Amalan SD juga boleh mengelakkan proses DUN disalahgunakan bagi menghalang usul undi tidak percaya dibawa.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah membawa usul undi kepercayaan majoriti Ahli Parlimen dan ini merupakan teladan yang baik selaras dengan amalan demokrasi berperlembagaan di negara kita,” katanya. – UTUSAN










