10 peratus syarikat kenderaan perdagangan bermasalah -JPJ

10 peratus syarikat kenderaan perdagangan bermasalah -JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang 10 peratus daripada 40,000 syarikat kenderaan perdagangan berdaftar di seluruh negara dikesan bermasalah kerana gagal mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengaut keuntungan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, syarikat kenderaan perdagangan itu dikesan menggunakan khidmat tonto, pemandu warga asing, pemandu tidak kompeten (tiada lesen CDL & GDL), membawa lebih had muatan (ekstrem), tiada insuran, tahap teknikal kenderaan tidak selamat, muatan bahaya dan lain-lain kesalahan.

“Sikap mementingkan diri bagi mengaut keuntungan mudah ini pastinya mengundang pelbagai masalah seperti kerosakan jalan dan kemalangan maut terutama bagi penunggang motosikal,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan kepada pembekal, pengeluar dan pihak kuari supaya menggunakan khidmat daripada syarikat lori yang berdaftar dan tidak bermasalah bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.

Dakwaan JPJ menyita lori yang dianggap sebagai perbuatan melampau oleh sesetengah pihak, beliau berkata, pihaknya tidak mahu berkompromi dengan kesalahan mendorong berlakunya kemalangan maut.

“Tindakan sita yang kita ambil adalah berlandaskan lunas undang-undang iaitu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 80 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil terhadap syarikat dan pemandu lori yang membawa muatan melebihi 71 peratus daripada had ditetapkan serta melakukan kesalahan sama berulang kali dan mempunyai rekod saman yang tinggi.

“Ini kerana apabila had muatan terlalu berat, ia akan menjejaskan sistem brek dan kawalan stereng serta kerosakan teknikal sekali gus boleh menyebabkan hilang kawalan dan berlakunya kemalangan sehingga melibatkan kematian,” jelasnya.

Beliau berkata, JPJ sentiasa mengutamakan kelestarian ekosistem jalan raya dengan memastikan operasi kenderaan perdagangan selamat untuk semua pengguna.

“Adalah menjadi tanggungjawab kepada JPJ untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan maut dengan memastikan semua kenderaan khususnya kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN