JOHOR BAHRU: UMNO bersikap hipokrit apabila mendakwa tindakan Barisan Nasional (BN) bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan hubungan dan kerjasama parti-parti politik dalam kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Alias Rasman berkata, realitinya perbuatan UMNO hanya menzahirkan keinginan parti itu untuk kekal berkuasa sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan idealisme perjuangan mereka.
“UMNO dan BN mahu bertanding solo di Johor tetapi pada masa yang sama mempertahankan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan. Pendekatan UMNO ini dilihat cuba meremehkan kebijaksanaan rakyat Johor.
“Rakyat Johor khususnya generasi muda perlu sedar dan tidak lagi terpedaya dengan naratif bahawa ini hanyalah ‘strategi negeri’. UMNO akan terus mengekalkan kerjasama politik dengan PH termasuk DAP apabila mereka tidak mampu tubuh kerajaan bersendirian nanti,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Alias, kemungkinan gabungan UMNO dan DAP akan menjadi strategi dan pilihan kedua BN Johor sekiranya diperlukan.
“Sehubungan itu, Armada Bersatu Johor yakin rakyat negeri ini bersedia menghumban kerajaan UMNO DAP dalam PRN Johor akan datang,” katanya.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata keputusan BN negeri bergerak solo dan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan menjejaskan kerjasama kerajaan Perpaduan di pusat.










