AS dakwa tewaskan serangan peluru berpandu, dron Iran di Teluk

AS dakwa patahkan serangan peluru berpandu, dron Iran di Teluk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan berjaya menewaskan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron Teheran di Teluk serta melancarkan serangan mempertahankan diri ke atas Pulau Qeshm milik Iran.

Markas Pusat AS (CENTCOM) turut menafikan dakwaan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) bahawa mereka telah menyerang ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain serta sebuah pangkalan udara lain di rantau itu.

“Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah negara jiran serantau, namun semuanya gagal mengenai sasaran yang dimaksudkan.

“Dua peluru berpandu Iran yang dilancarkan ke arah Kuwait gagal sampai ke sasaran atau pecah ketika dalam perjalanan, manakala tiga peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Bahrain berjaya dipintas serta-merta oleh sistem pertahanan udara AS dan Bahrain,” kata Centcom dalam satu kenyataan.

Tentera Kuwait pula berkata, sistem pertahanan udaranya sedang memintas serangan peluru berpandu dan dron bermusuhan.

Tentera AS turut menembak jatuh tiga dron serangan yang dilancarkan Iran ke arah kapal awam yang sedang melalui perairan serantau secara sah, menurut Centcom.

Pulau Qeshm terletak di Selat Hormuz yang strategik, iaitu laluan perkapalan utama bagi minyak dan gas Teluk yang secara berkesan telah ditutup Teheran sejak bermulanya perang dengan AS dan Israel pada akhir Februari lalu.

CENTCOM berkata, serangan itu menyasarkan sebuah stesen kawalan darat tentera Iran di pulau berkenaan sambil menambah tiada anggota tentera AS yang cedera.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA, IRGC mendakwa mereka telah menyerang kemudahan ketenteraan AS sebagai tindak balas terhadap serangan di Pulau Qeshm.

“PALSU! Semua serangan Iran terhadap tentera Amerika gagal,” kata Centcom dalam hantaran di X

Gencatan senjata antara AS dan Iran berkuat kuasa sejak 8 April lalu, namun rundingan susulan untuk menamatkan konflik secara lebih kekal setakat ini masih gagal mencapai hasil.

Teheran pada Isnin berkata, kempen ketenteraan Israel yang semakin meluas di Lubnan berisiko menamatkan gencatan senjata antara AS dan Iran.

Terdahulu, tentera AS menembak sebuah peluru berpandu ke arah sebuah kapal yang cuba belayar ke pelabuhan Iran dengan melanggar sekatan AS, sekali gus menyebabkan kapal itu tidak dapat meneruskan pelayaran.

Washington kini telah menghentikan secara paksa enam kapal yang didakwa cuba melanggar sekatan tersebut, yang mula berkuat kuasa sejak 13 April lalu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN