PETALING JAYA: Pelakon, Yusuf Bahrin mengakui pekerjaan sebagai aktor menuntut pengorbanan yang besar di sebalik tabir dan tidak hanya tentang populariti semata-mata.
Yusuf atau Muhammad Yusuf Bahrin, 34, berkata apa yang dilihat oleh peminat hanyalah sekadar 10 peratus daripada keseluruhan fasa kehidupan seorang pelakon, manakala.
“Ramai yang menyangka berlakon ini glamor. Dapat jumpa artis, masuk televisyen dan ramai kenal. Tapi apa yang orang nampak cuma 10 peratus sahaja. Lagi 90 peratus itu berlaku di belakang kamera,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Jelas Yusuf lagi, jika dibandingkan dengan kerjaya pejabat yang mempunyai waktu kerja tetap, tugasan sebagai pelakon menuntut pengorbanan masa yang lebih besar.
“Kerja pukul 9 pagi hingga 5 petang sebenarnya lebih tenang dalam banyak keadaan. Petang sudah boleh balik rumah, makan bersama keluarga dan berehat,” ujarnya yang menyifatkan rutin harian pelakon tidak menentu.
Kenyataan Yusuf itu turut mendapat reaksi daripada pelakon berkaliber, Beto Kusyairy yang bersetuju bahawa bebanan tugas seorang pelakon bermula jauh lebih awal sebelum kamera mula merakam.
Menurut Beto, tuntutan terhadap seorang pelakon sangat tinggi dan memerlukan persediaan mental serta fizikal yang rapi.
“Kerja kita bukan hanya bermula di set. Berminggu atau berbulan sebelum penggambaran bermula, kita sudah kena buat segala persiapan untuk menjayakan tanggungjawab tersebut.
“Ia merangkumi proses membaca skrip berulang kali, perbincangan, kajian, menonton rujukan, bengkel lakonan serta latihan kecergasan. Malah, ada yang perlu menambah atau menurunkan berat badan demi karakter,” katanya.
Tambah Beto lagi, proses teknikal seperti ujian solekan, ujian kamera, sesi suai kenal pakaian (wardrobe fitting) dan latihan penuh (rehearsal) juga merupakan sebahagian daripada komitmen yang tidak dilihat oleh mata kasar penonton. -UTUSAN










