PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengadakan Karnival Bahasa Kadazandusun (BKD) dan Majlis Pelancaran Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Darjah 5 dan 6 dengan kerjasama Kadazandusun Language Foundation (KLF), di Penampang, Sabah, hari ini.
YBR dalam kenyataan berkata, program itu merupakan kesinambungan dalam menerbitkan Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun yang terbaik khusus untuk murid darjah 4, 5 dan 6 bagi membantu generasi muda untuk terus membudayakan bahasa ibunda.
Sehubungan itu, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, beliau amat menyokong usaha dalam memartabat bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda.
“Usaha murni ini merupakan salah satu inisiatif YBR dalam mempelbagai cabang pendidikan serta sedikit sebanyak membantu sebagai persiapan menjadi sebahagian pelaksanaan karnival bahasa kadazandusun di peringkat negeri pada tahun hadapan.
“Diharap kejayaan penghasilan modul buku kerja darjah 4, 5 & 6 ini dapat membantu para guru untuk lebih semangat menyampaikan ilmu kepada para pelajar untuk diwarisi turun temurun,” katanya.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di pusat membeli belah di Penampang, Sabah hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ewon berterima kasih kepada YBR kerana menyokong inisiatif itu dan berharap YBR bersetuju menganjurkan karnival bahasa Kadazandusun pada tahun hadapan.
“Program ini amat dekat di hati saya dan bahasa Kadazandusun adalah perjuangan peribadi saya dalam memartabatkan pendidikan negara,” katanya. – UTUSAN