Wujud elemen buruh paksa dalam aktiviti lombong REE di Sik

Wujud elemen buruh paksa dalam aktiviti lombong REE di Sik, Kedah – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan wujud elemen buruh paksa dan pemerdagangan manusia dalam aktiviti pelombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, elemen itu terbongkar susulan tangkapan 52 individu termasuk pekerja asing di Bukit Enggang, Sik, Kedah sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pihak polis yang menyiasat kes itu mendapati pekerja asing itu bekerja tanpa upah dan ia satu amalan buruh paksa.

“Kami difahamkan, mereka (pekerja asing) adalah dari negara Myanmar, Nepal dan beberapa negara lain. Mereka ini dipaksa korek lubang, mengeluarkan bijih dan kemudian tidak dibayar upah.

“Semua kesalahan itu kita letakkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang 2023 di sini, hari ini.

Katanya, kes itu kini dalam siasatan pihak polis dan pelaku serta orang yang membawa masuk pekerja asing itu juga sudah ditahan dan disiasat mengikut SOSMA.

Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati,kelompok pekerja asing itu di bawa masuk menerusi pintu sempadan negara secara tidak sah dan tanpa dokumen sah.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati, kelompok pekerja asing ini ditugaskan menebuk lubang, memasukkan paip, mengendalikan ammonia, menyalurkan bijih ke kolam dan kemudian mengasingkan bijih putih kelabu.

“Mereka dijanjikan upah antara RM80 hingga RM100 sehari tapi upah itu tidak dibayar,” katanya.

Mengulas sambutan hari ini, Saifuddin berkata, kerajaan tidak dapat melengkapkan usaha memerangi fenomena pemerdagangan manusia dan amalan buruh paksa tanpa sokongan badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan di negara ini.

Terdahulu, pada majlis sama, dua buah rumah perlindungan, Global Shephard Berhad (GSB) dan Tenaganita Sdn. Bhd. membabitkan dana sebanyak RM845,000. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN