JCorp catat untung sebelum cukai RM718j pada 2024

JCorp catat untung sebelum cukai RM718j pada 2024

SYED MOHAMED SYED IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Johor Corporation (JCorp) pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 19 peratus kepada RM718 juta bagi tahun kewangan 2024 berbanding tahun sebelumnya,  disokong oleh prestasi kukuh segmen agribisnes serta kesejahteraan dan kesihatan.

Selain itu, prestasi lebih baik itu turut didorong oleh hasil pelupusan aset dan pengurusan kos yang lebih tersusun di peringkat kumpulan.

Bagi tempoh yang sama, kumpulan melaporkan pendapatan sebanyak RM6.96 bilion, peningkatan 12 peratus berbanding RM6.20 bilion bagi tempoh sama pada 2023.

Tahun 2024 merekodkan pencapaian signifikan Kumpulan JCorp bermula dengan penyenaraian Johor Plantations Group Berhad (JPG) di Bursa Malaysia. 

Sementara itu, KPJ Healthcare Berhad (KPJ) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi kesihatan serantau menerusi pelancaran Sistem Kesihatan Akademik pertama di Malaysia dan penjenamaan semula.

Selain itu, ia juga menjadi satu-satunya rangkaian hospital di Malaysia yang memeterai kolaborasi strategik bersama Mayo Clinic sebagai langkah penting dalam memperluaskan kehadirannya di peringkat global.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, 2024 menandakan perubahan dalam cara JCorp menyampaikan nilai sebagai sebuah institusi pelaburan. 

Katanya, kumpulan telah menyusun semula portfolio, memperkukuh disiplin modal dan mewujudkan ruang bagi syarikat kumpulan untuk menerajui dengan lebih jelas, termasuk menerusi penyenaraian JPG, penjenamaan semula KPJ serta inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Dalam meneruskan peranan kami sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab, fokus kami kekal terhadap usaha untuk membina institusi yang mampu menjana impak jangka panjang. 

“Setiap keputusan, kerjasama dan pelaburan harus menyumbang kepada ekonomi serta mencipta nilai yang berkekalan untuk Johor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, tumpuan kumpulan melibatkan peluasan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, pemerkasaan sektor strategik seperti agribisnes dan penjagaan kesihatan, serta pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta. 

“Keutamaan kini terletak pada pemantapan pelaksanaan demi menjana nilai berterusan dan memacu pertumbuhan baharu untuk Johor dan negara,” ujarnya.

Kumpulan JCorp yang menguruskan aset bagi pihak kerajaan Johor mengawal syarikat seperti KPJ, JPG, JLand Group serta QSR Brands (M) Holdings Bhd yang mengendalikan rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×