SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-15 hari ini.
Beliau dilantik selepas memenangi undian bagi pemilihan Speaker baharu dalam satu undian yang dijalankan dalam Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama DUN Selangor ke-15.
Sebelum undian berlangsung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim mencalonkan Weng San sebagai calon bagi pihak Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Manakala ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi pula mencalonkan Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mohd. Salleh sebagai calon Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Bahagian DUN Selangor, J. Gayathri Prasena selepas proses undian dalam kalangan ADUN Selangor mengumumkan Weng San memperoleh 34 undi berbanding Mohd. Fuad yang hanya memperoleh 22 undi.
Pelantikan Weng San sebagai Speaker bukan dari kalangan ADUN selaras mengikut Fasal 1(b) Perkara 71, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Sebelum ini, DAP meminta PH-BN Selangor melantik Weng San sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), yang berakhir pada bulan lalu.
Setiausaha Agung DAP, Antony Loke menuntut jawatan tersebut sebagai syarat penyerahan kerusi DUN Dusun Tua yang disandang partinya sebelum ini kepada BN.
Mesyuarat hari ini turut melantik ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd. Kamri Kamaruddin sebagai Timbalan Speaker.
Kesemua 56 ADUN Selangor hari ini melaksanakan upacara angkat dan tandatangani surat sumpah yang didahului ADUN Sungai Tua yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada PRN lalu, PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 34 kerusi berbanding 22 kerusi yang diperoleh PN.-UTUSAN