PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam longkang semasa mengambil bola di Bandar Mahkota Cheras dekat sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.08 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, komander operasi melaporkan terdapat seorang kanak-kanak perempuan disyaki terjatuh ke dalam longkang semasa mengambil bola.
“Semasa kejadian, arus longkang dilaporkan deras dan mangsa dipercayai telah dihanyutkan air.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan di lokasi kejadian dengan kekuatan tujuh anggota bersama sebuah jentera ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian mangsa. – UTUSAN










