Wanita Indonesia diculik, didera 10 hari kerana hutang RM540,000 suami - Utusan Malaysia

Wanita Indonesia diculik, didera 10 hari kerana hutang RM540,000 suami

KHAW Kok Chin dalam sidang akhbar mengenai tangkapan 14 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes culik dan mendera seorang wanita Indonesia di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Percutian ke Pulau Pinang yang sepatutnya menyeronokkan buat seorang wanita Indonesia berusia 36 tahun bertukar menjadi pengalaman ngeri selepas dia diculik dan dikurung selama 10 hari.

Lebih malang, wanita itu turut diikat dengan rantai besi, didera termasuk dicucuh puntung rokok dan dicucuk dengan jarum selain disebat dengan paip getah.

Bagaimanapun, penderitaan mangsa berakhir selepas dia berjaya diselamatkan polis dalam operasi Op Scorpion Rantai Penang pada 17 September lalu, ketika dikurung di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, wanita itu diculik sekumpulan lelaki ketika berada di Relau dekat sini, 7 September lalu dan dikurung di beberapa lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Antaranya, kata beliau, mangsa dikurung di sebuah rumah di Butterworth dekat sini selama tiga hari; di sebuah rumah di Puchong, Selangor selama empat hari dan di Shah Alam selama tiga hari sebelum diselamatkan.

KHAW Kok Chin dalam sidang akhbar mengenai tangkapan 14 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes culik dan mendera seorang wanita Indonesia di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati, mangsa diculik disebabkan masalah hutang perniagaan yang ditanggung suaminya yang juga warga Indonesia berusia 47 tahun bersama seorang lelaki tempatan berjumlah RM540,000.

“Suami mangsa dikatakan gagal membayar wang itu dan isterinya diculik dan dijadikan tebusan oleh suspek untuk menuntut wang tersebut.

“Suami mangsa sempat membayar sebanyak RM50,750 kepada suspek menerusi dua transaksi, namun suspek enggan melepaskan isterinya selagi keseluruhan hutang berjumlah lebih setengah juta itu dilangsaikan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Kok Chin, suami mangsa kemudian membuat laporan polis pada 15 September lalu iaitu selepas kira-kira seminggu isterinya diculik sekumpulan individu yang didalangi suspek terbabit.

Bertindak daripada laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang melancarkan operasi menyelamatkan mangsa dan mengesan kesemua suspek terlibat.

Ujarnya, polis berjaya mengesan lokasi mangsa dikurung iaitu di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor sebelum mangsa diselamatkan bersama seorang lagi lelaki warga asing yang turut dikurung di rumah berkenaan kira-kira pukul 5.10 pagi, 17 September lalu.

“Kemudian pada hari yang sama iaitu antara pukul 6 pagi hingga 10.30 malam, polis berjaya menahan 14 suspek termasuk dalang kes penculikan itu yang berumur 35 tahun di beberapa lokasi termasuk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

“Mereka yang ditahan masing-masing 12 lelaki dan dua wanita termasuk dua lelaki warga asing yang kesemuanya berusia antara 23 hingga 70 tahun,” katanya.

Ujar beliau, saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif sebarang jenis dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan boleh disebat.

Ujar beliau, dalam operasi sama, polis turut menyita empat buah kenderaan termasuk yang dipercayai digunakan untuk menculik mangsa masing-masing Mitsubishi Grandis; Toyota Vios; Honda HRV dan Honda CRV.

Turut dirampas, katanya, pelbagai barangan termasuk 23 buah telefon bimbit; 36 pengikat kabel; sebatang jarum; batang dan rantai besi; getah paip; resit pajak gadai dan kad kredit serta wang tunai berjumlah RM4,800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya