PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan seluruh agensi berkaitan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.
Katanya, arahan itu berdasarkan pemantauan keadaan semasa banjir yang kini melanda di Kedah, Perlis, Selangor dan Sabah akibat peralihan monsun ketika ini.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah mengarahkan seluruh agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan keselamatan untuk terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Ini meskipun Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis penamatan amaran hujan berterusan peringkat waspada,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat banjir pada kali ini dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan dalam menghadapi musibah yang melanda.
“Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN