Tipu anak pemilik restoran nasi kandar, penganggur didenda RM20,000 - Utusan Malaysia

Tipu anak pemilik restoran nasi kandar, penganggur didenda RM20,000

JALIL AHMAD Mohd. Adam ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini bagi berdepan pertuduhan menipu anak pemilik restoran nasi kandar bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan dari sebuah pihak berkuasa tempatan tahun lalu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang penganggur didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pilihan menipu anak pemilik restoran nasi kandar bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan dari sebuah pihak berkuasa tempatan, tahun lalu.

Jalil Ahmad Mohd. Adam, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Jalil Ahmad yang ketika itu bekerja sebagai pembantu restoran nasi kandar didakwa memperdaya lelaki berusia 22 tahun untuk mempercayainya bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan kedai nasi kandar.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM50,000 kepada tertuduh yang akan dibayar kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di The Summer Place, Lebuh Sungai Pinang di Georgetown pada 17 Oktober 2022 antara pukul 2 petang sehingga 4.05 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan kerana tidak bekerja.

Tertuduh juga memaklumkan dua anak perempuan yang menyaranya dan tinggal bersama ibunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam sekali gus memastikan kesalahan itu tidak berulang.

Zulhazmi kemudian turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, namun tertuduh membayar denda dikenakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya