KUALA LUMPUR: Satu operasi khas dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memberi fokus kepada kenderaan perdagangan khususnya lori yang membawa lebihan muatan di seluruh negara.
Operasi yang dilaksanakan itu rentetan daripada insiden kemalangan maut lori muatan pasir yang merempuh 13 kenderaan sehingga mengorbankan dua penunggang motosikal awam dan mendatangkan kecederaan kepada pengguna lain pada Rabu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, arahan dikeluarkan kepada semua pengarah-pengarah JPJ negeri di seluruh negara untuk membuat operasi khas ke atas kenderaan perdagangan membawa lebihan muatan yang melanggar undang-undang sehingga mengundang bahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita telah mengeluarkan arahan kepada semua pengarah-pengarah JPJ di seluruh negara untuk membuat operasi khas kenderaan perdagangan berkaitan dengan lebihan muatan ini.
“Jadi semua operasi khas yang berfokuskan kenderaan perdagangan lebihan muatan di seluruh negara ini akan dijalankan secara serentak mulai minggu depan,” katanya selepas hadir ke Operasi Penguatkuasaan Ops Bersepadu menyasarkan khusus kenderaan motosikal di Plaza Tol Awan Besar menghala ke Kuala Lumpur, malam tadi.
Aedy Fadly berkata, operasi khas kenderaan perdagangan itu diketuai sendiri oleh pengarah-pengarah JPJ setiap negeri.
“Selain itu, kita telah mengambil tindakan untuk mengarahkan juga Ibu Pejabat JPJ khususnya Bahagian Penguatkuasa memantau operasi-operasi ini secara rapi dan mengemukakan laporan penuh dan lengkap tentang operasi itu kepada Pengurusan tertinggi JPJ serta Kementerian Pengangkutan.
“Kita akan melihat dan kerjasama juga akan dilaksanakan bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain termasuk polis bagi melaksanakan operasi khas menyasarkan kenderaan perdagangan,” katanya. – UTUSAN










