ARAU: Perebutan jawatan Naib Presiden Pas dijangka menjadi tumpuan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 dengan tiga nama Menteri Besar dilihat calon paling sesuai untuk mengimbangi penguasaan ulama dan teknokrat dalam kepemimpinan parti berkenaan.
Dua jawatan tertinggi Presiden dan Timbalan Presiden dijangka tiada pertandingan dan kekal disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pemerhati politik meramalkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dijangka menjadi muka baharu yang sesuai diketengahkan bertanding bagi jawatan Naib Presiden.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula dijangka mengekalkan jawatan berkenaan.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dijangka dicabar bagi jawatan itu.
Muktamar Pas tahun ini dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, pada masa ini, Pas berada dalam kedudukan paling kuat sejak sejarah penubuhan dan ternyata kekuatan parti itu adalah dibawah pimpinan Abdul Hadi.
Justeru katanya, Abdul Hadi dijangka tidak akan dicabar dalam pemilihan kali ini melainkan beliau mengambil keputusan mengundur diri.
Katanya, Tuan Ibrahim juga dijangka kekal sebagai individu nombor dua parti sebagai pemimpin parti dalam kalangan ulama.
Bagi jawatan Naib Presiden Pas katanya, nama Muhammad Sanusi antara yang paling menjadi tumpuan meskipun beliau difahamkan menolak untuk mengisi jawatan berkenaan.
“Muhammad Sanusi patut naik mengisi jawatan Naib Presiden Pas atas sumbangan dan impaknya dalam kemenangan Pas khususnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Meskipun Sanusi berdepan banyak kontroversi namun kerjanya berjalan.
“Ahmad Samsuri pula dijangka kekal mengisi jawatan Naib Presiden dan dilihat menjadi masa depan Pas mengisi barisan kepemimpinan tertinggi parti nanti. Malah Ahmad Samsuri juga telah membuktikan kemampuannya.
“Seorang lagi pemimpin senior Pas dari Kelantan yang juga Menteri Besar baharu di negeri tersebut, Mohd. Nassuruddin juga dilihat mempunyai potensi mengisi salah satu jawatan berkenaan. Beliau mempunyai pengalaman cukup luas di dalam jawatan kuasa Pas pusat dan di peringkat negeri.
“Gabungan tiga Menteri Besar itu cukup lengkap dan seimbang antara golongan ulama dan teknokrat atau profesional,” katanya.
Sementara itu Muhammad Izmer berkata, nama Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin seorang pemimpin muda juga dilihat berpontensi untuk diketengahkan bertanding jawatan Naib Presiden.
Sebagai rekod, ketika Muktamar Tahunan Pas ke-67 pada tahun 2021, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang masing-masing disandang Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim tidak dicabar mana-mana pemimpin lain. – UTUSAN