Tambah baik infrastruktur sebelum 2030 - Utusan Malaysia

Tambah baik infrastruktur sebelum 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan menyediakan infrastruktur lengkap kepada warga emas sebelum 2030 menyebabkan negara berdepan masalah ketidakcekapan pengurusan golongan itu dalam meniti usia tua termasuk kekurangan kemudahan kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, Malaysia belum mencapai infrastruktur sesuai untuk negara tua kerana hanya segelintir yang terdedah atau menyedari kepentingan isu berkenaan.

Katanya, golongan lain pula secara umumnya tidak melihat isu itu secara menyeluruh tetapi dari segi bidang kesihatan sahaja.

Sebagai contoh kata beliau, Malaysia secara holistiknya memerlukan perubahan umpa­manya kewujudan bas ergonomik dan laluan pejalan kaki yang mesra untuk warga emas seperti negara-negara maju lain.

“Andai kata warga emas dimasukkan ke dalam hospital, siapa yang perlu bayar? Bagaimana kita nak merawat kes-kes ini jika ramai warga emas dimasukkan ke dalam hospital?” Soalnya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 3.4 juta warga emas di negara ini berdepan kepayahan untuk meneruskan kehidupan berikutan kekurangan kemudahan infrastruktur untuk menyokong mereka melakukan aktiviti hari­an.

Situasi ini membimbangkan kerana Malaysia bakal menuju negara tua pada 2030, dan jika kemudahan yang sesuai tidak disediakan kepada golongan tersebut ia akan mencetuskan pelbagai masalah sosial.

Kata Sharifa Ezat, kegagalan menangani isu berkenaan turut menyebabkan golongan warga emas tidak mempunyai kualiti kehidupan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan kerajaan supaya menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini dengan memberi tumpuan terhadap isu infrastruktur warga emas supaya mereka dapat kehidupan lebih selesa.

“Buat masa ini, tidak nampaklah perkara itu (infrastruktur holistik), kerana negara kita masih belum bersedia dan ini perlu dilokalisasikan sebab kita mempunyai etnik dan agama yang berbeza-beza. Jadi ini patut disesuaikan mengikut ke­sesuaian di negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya