PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan tingkatan empat yang meninggal dunia pagi semalam di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau dan isteri berasa berdukacita menerima berita berkenaan.
“Saya dan Azizah mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Semoga keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan telah menggerakkan bantuan serta sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian berkenaan.
“Saya memohon semua pihak untuk memberi ruang kepada keluarga dan mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, sementara pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima maklumat berhubung pelajar ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di Seremban pada 10.48 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata tiada unsur buli dikesan setakat ini dalam kes membabitkan pelajar berkenaan. – UTUSAN










