Sungai Masai hitam pekat, busuk ancam sumber nelayan

Sungai Masai hitam pekat, busuk ancam sumber nelayan

MOHD. AZLI Mohd. Aziz (dua dari kiri) bersama beberapa nelayan melihat Sungai Masai yang bertukar hitam dan berbau busuk di Kampung Pasir Gudang Baru, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu pencemaran sungai seperti tiada penghujungnya bagi penduduk di kawasan Pasir Gudang.

Terbaharu, penduduk di Kam­pung Pasir Gudang Baru, dekat sini berdepan isu pencemaran air Sungai Masai yang berwarna hitam dan berbau busuk serta situasi itu amat meresahkan mereka, teruta­manya 45 nelayan pantai yang bergantung hidup dengan hasil tangkapan untuk menyara keluarga.

Pengerusi Nelayan Wilayah Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, isu air bertukar hitam seperti itu sering kali berlaku dan banyak aduan tentang isu itu telah dibuat kepada Ja­batan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Indah Water Konsortium tetapi masih tidak dapat diselesaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya pun tidak tahu bila ma­salah pencemaran air hitam ini akan selesai, aduan telah dibuat banyak kali tetapi masih tidak ada penyelesaian.

“Pegawai mereka ada datang, tetapi setakat memantau dan mengambil sampel air. Itu saja yang dilakukan tetapi masih lagi berlaku pencemaran,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia mendakwa, pencemaran itu berlaku berikutan loji kumbahan yang tidak diselenggarakan dengan sempurna dan melepaskan air yang belum diproses ke sungai.

Justeru, beliau mendesak kerajaan negeri di bawah pim­pinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memandang serius masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad kesal dengan kejadian yang berlaku di Sungai Masai sedangkan banyak aduan te­lah dibuat kepada JAS, MBPG dan Indah Water Konsortium supaya segera menangani ma­salah berkenaan.

“Bila hendak selesai, tidak guna buat aduan tetapi tidak ada penyelesaian dan masih berlaku lagi.

“Tidak ada tindakan wajar daripada pihak tertentu untuk mengawal keadaan pencemaran ini,’’ katanya dalam nada kesal.

Seorang nelayan, Alimman Jamat, 50, turut berharap pi­hak-pihak yang berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah pencemaran tersebut dengan segera kerana menjejaskan hasil tangkapan, sekali gus pendapatan mereka.

“Saya terpaksa menangkap ikan di luar pantai kerana keadaan pesisiran untuk menangkap ikan tercemar dengan kualiti air yang kotor,’’ katanya sambil memaklumkan masalah itu sering berlaku.

Seorang lagi nelayan, Mohd Fahmi Md. Fadilah, 37, turut mengakui hasil pendapatannya terjejas akibat pencemaran tersebut dan berharap pihak yang bertanggungjawap segera mengambil tindakan mengatasinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini