PETALING JAYA: Adik kepada lelaki yang rentung bersama isterinya dalam kemalangan di Jalan Kuala Garing, Rawang di sini sempat menerima mesej kecemasan yang dihantar melalui aplikasi telefon bimbit milik mangsa.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, abangnya memuat naik aplikasi di telefon bimbit yang boleh menghantar mesej kepada keluarga sekiranya berlaku apa-apa insiden.
“Saya yang ketika itu sedang tidur menerima pesanan kecemasan dihantar melalui telefon bimbit abang dan terus mengejutkan ayah serta abang sulung untuk ke lokasi tertera dalam mesej itu.
“Bagaimanapun, ketika tiba api sudah dipadamkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, abangnya, Koo Soon Yin serta kakak iparnya, Ho Zhi Wei baru selesai makan bersama rakan dan ingin pulang ke rumah mereka di Rawang.
Jelasnya, pasangan itu mempunyai seorang anak berusai empat tahun yang dijaga ibu kepada kakak iparnya.
“Bagaimanapun, dia (anak buah) belum tahu kematian ibu bapanya. Kami hanya boleh menuntut mayat mereka esok kerana perlu menjalani bedah siasat,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, siasatan polis mendapati, hilang kawalan dipercayai punca kemalangan dua kenderaan sehingga mengorbankan pasangan suami isteri yang rentung dalam kejadian berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan pukul pukul 4.30 pagi berkaitan kemalangan itu.
Katanya, siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa lelaki berusia 26 tahun memandu kereta Honda City bersama isterinya dari arah Bandar Country Homes menghala ke arah Rawang.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah Rawang menghala ke Bandar Country Homes.
“Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbakar. Mangsa dan isterinya berusia 23 tahun tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.- UTUSAN