ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat logistik ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki merasuah pegawai agensi penguat kuasa ketika melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara jiran.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi ketika dia diminta hadir ke pejabat SPRM Kedah.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.
“Suspek dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam sejak awal tahun ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009. –UTUSAN