Sindiket penipuan kerja: Lapan rakyat Sarawak jadi mangsa di

Sindiket penipuan kerja: Lapan rakyat Sarawak jadi mangsa di Myanmar

AZMAN Ahmad Sapri (tengah) bercakap dalam sidang media di IPK Kuching berhubung laporan warganegara Sarawak yang menjadi mangsa tawaran kerja di luar negara sebagai scammer di Myanmar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) cawangan D3 Atipsom akan bekerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) dalam usaha menyelamatkan lapan rakyat Sarawak yang menjadi mangsa penipuan kerja dan dipaksa bekerja sebagai scammer di Myanmar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, Konsulat dan Kementerian Luar Negeri juga dimaklumkan bagi membantu mempercepatkan proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang semua mangsa yang terlibat.

“Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak menerima tiga laporan polis berhubung dengan tawaran kerja di luar negara dan semua mangsa dipaksa bekerja sebagai scammer di Myanmar. 

“Laporan pertama dibuat pada 21 September baru-baru ini yang melibatkan dua lelaki Melayu di Tanjung Manis manakala laporan kedua pada 22 September iaitu di daerah Julau yang mana mangsa adalah lelaki Iban dan laporan ketiga dari daerah Sibu melibatkan lima lelaki Cina. 

“Semua lapan mangsa mendapat tawaran pekerjaan melalui aplikasi media sosial Facebook untuk bekerja di Thailand dan ditawarkan gaji sekitar RM3,000 sehingga RM6,000 seorang,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini. 

Tambah Mohd. Azman, kesemua mangsa yang dilaporkan tersebut berusia antara 25 hingga 35 tahun. 

“Menurut maklumat yang diterima, mangsa tidak mengetahui apakah jenis pekerjaan yang ditawarkan. Laporan juga mengatakan setibanya di Thailand, semua mangsa seterusnya dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai scammer.

“Sekiranya mereka tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak majikan, mereka akan didenda dan didera serta diugut akan dijual kepada ejen yang lain. 

“Semua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga dan mangsa hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi,” ujarnya lagi.

Justeru, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja yang diterima yang menawarkan gaji lumayan baik di luar negara mahupun di dalam negara. 

“Mohon semak kesahihan dan maklumat berkenaan bakal majikan dengan Kementerian Luar Negeri dan pastikan kontrak dan perjanjian jelas sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan,” tegasnya. 

Dalam pada itu, Mohd. Azman juga menegaskan sekiranya terdapat ahli keluarga yang terperangkap dengan sindiket penipuan tersebut, mangsa boleh meminta bantuan daripada pihak berkuasa tempatan, perwakilan atau kedutaan Malaysia di tempat tersebut atau ahli keluarga membuat laporan polis.

“Pihak PDRM juga membuat pemakluman kepada Konsulat dan Kementerian Luar Negeri bagi membantu mempercepatkan proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang semua mangsa yang terlibat.

“Siasatan juga akan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670). 

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya