Sektor minyak dan gas kekal neutral - Utusan Malaysia

Sektor minyak dan gas kekal neutral

UZMA dan Dayang Enterprise Holdings diunjur menjadi penerima manfaat utama peningkatan capex Petronas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penguncupan pendapatan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bagi tempoh separuh pertama 2023 didorong oleh penormalan harga bagi minyak mentah, gas dan petrokimia, menurut Kenanga Research.

Firma Penyelidikan itu dalam satu nota kajian berkata, pendapatan yang berkurangan sebanyak 11 peratus tahun ke tahun (yoy) itu disebabkan beberapa faktor seperti harga purata Japan Crude Cocktail (JCC) yang lebih rendah sebanyak AS$85 setong berbanding AS$98 setong bagi separuh pertama 2022.

Katanya, penurunan harga brent kepada AS$80 setong bagi separuh pertama 2023 daripada AS$108 setong tempoh sama tahun lalu dan harga jualan purata (ASP) yang lebih lemah untuk produk hiliran termasuk petrokimia dan produk minyak ditapis juga mendorong pendapatan Petronas berkurangan.

Jelasnyai, jumlah kelayakan pengeluaran yang lebih rendah bagi segmen huluan dan penurunan jumlah jualan bagi gas asli cecair (LNG) kasar serta minyak mentah dengan masing-masing sebanyak dua dan lima peratus turut mempengaruhi pendapatan separuh pertama Petronas.

“Perkara di atas menyumbang kepada keuntungan bersih separuh pertama 2023 yang lebih lemah sebanyak RM38.8 bilion (penurunan enam peratus), yang turut diheret oleh kos produk lebih tinggi pada segmen gas dan margin penapisan dan petrokimia yang lebih lemah seiring dengan harga jualan purata yang lebih rendah.

“Namun, penurunan pendapatan sebahagiannya diimbangi oleh kadar dolar Amerika Syarikat dan ringgit yang lebih kukuh sebanyak 4.46 berbanding 4.27 bagi separuh pertama 2022, cukai yang lebih rendah dan lonjakan volum jualan bagi produk petroleum sebanyak 29 peratus dan petrokimia sebanyak 34 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Kenanga Research berkata, Petronas turut merekodkan peningkatan perbelanjaan modal (Capex) bagi tempoh separuh pertama 2023 sebanyak 13 peratus kepada RM21.4 bilion dan menjadikannya sebagai Capex tertinggi sejak tahun kewangan 2016.

“Pada pandangan kami, perbelanjaan separuh pertama 2023 yang teguh mencerminkan usaha Petronas untuk meningkatkan Capex bagi memanfaatkan harga minyak semasa yang tinggi.

“Tambahan pula melihat kepada trend peralihan tenaga, ini adalah masa yang sesuai untuk mengewangkan sumber bahan api fosil sebelum penggunaannya merosot,” katanya.

Menurutnya, di sebalik harga minyak yang berdaya tahan dan jangkaan peningkatan perbelanjaan modal oleh Petronas, pihaknya menjangkakan daya tarikan yang berterusan dalam aliran kontrak minyak dan gas (O&G).

“Sebagai imbasan, Petronas menyasarkan untuk membelanjakan sebanyak RM300 bilion dalam capex sepanjang tahun kewangan 2023 sehingga 2027 di mana ia diterjemahkan kepada belanjawan tahunan yang besar sebanyak RM60 bilion berbanding perbelanjaan purata RM42 bilion sepanjang lima tahun yang lalu.

“Sejajar dengan itu, berdasarkan Tinjauan Aktiviti 2023-35 Petronas, permintaan tahun ke tahun dijangka meningkat pada 2023 untuk kebanyakan pekerjaan dan projek,” katanya.

Firma tersebut berkata, secara dasarnya, pihaknya berpandangan positif ke atas sektor O&G dan mengekalkan unjuran neutral terhadap sektor berkenaan.

“Ia berikutan daya tarikan berterusan dalam perbelanjaan modal O&G membawa kepada DCR yang kukuh, penggunaan armada dan anugerah kontrak baharu untuk penyedia perkhidmatan huluan.

“Selain itu, pasaran FPSO global sedang bersedia berhadapan peningkatan besar pada tahun-tahun akan datang dan kadar simpanan terminal tangki serantau yang berdaya tahan melebihi SGD6/m3,” katanya.

Ujarnya lagi, Kenangan Research juga percaya permintaan akan kekal lembap dalam tempoh terdekat untuk petrokimia dan kapal tangki mentah.

Minggu lalu, Petronas mengumumkan untung bersih kumpulan berkenaan merosot 13 peratus kepada RM40.2 bilion pada separuh pertama 2023, berbanding RM46.4 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan kumpulan juga rendah sedikit kepada RM170.3 bilion berbanding RM170.4 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya