Saya rindukan ibu saya yang dahulu - Khai Bahar - Utusan Malaysia

Saya rindukan ibu saya yang dahulu – Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar, memaklumkan sering berulang-alik ke kampungnya di Perlis untuk menjenguk keadaan ibunya, Rosnah Mohd yang kini menderita penyakit buah pinggang tahap empat.

Kata Khai, meskipun sibuk bekerja di ibu kota, dia akan memastikan hari cuti atau masa terluang digunakan sebaiknya untuk bersama ibunya.

“Kesihatan ibu saya yang tidak menentu amat merisaukan saya. Sebab itu setiap kali bercuti saya akan pulang ke kampung untuk menjenguk dia.

“Keadaannya ada masa okey, ada tidak. Ada ketika dia terpaksa keluar masuk hospital kerana mengalami sesak nafas. Sebab itu saya akan terus balik ke kampung, batalkan show atau tinggalkan urusan di Kuala Lumpur kalau dia masuk hospital.

“Memang saya rindukan ibu saya yang dahulu. Ketika sihat, dia rajin mengemas rumah, masak dan melakukan kerja-kerja harian. Sukar untuk saya terima keadaan dia sekarang,” katanya yang ditemui pada pelancaran single terbarunya bersama Adira Suhaimi, Pejam.

Khai juga pada masa yang sama berkongsi kesedihan mengenangkan ingatan ibunya yang kadangkala terganggu gara-gara penyakit tersebut.

Kata penyanyi berusia 29 tahun ini, adakalanya ibunya mengalami lupa ingatan dan tidak mengenali anaknya sendiri.

“Saya diberitahu doktor keadaan itu boleh berlaku kepada pesakit buah pinggang. Sebab itu, ada ketika, dia masih bertanya bila saya akan pulang menjenguk dia meskipun saya berada betul-betul disebelahnya.

“Saya terima keadaannya begitu. Sekarang ini, kami adik beradik berusaha untuk sentiasa menggembirakan dia, jangan bagi dia sedih,” kongsinya lagi.

Bercakap tentang lagu Pejam, Khai menyuarakan rasa gembira kerana akhirnya berpeluang berduet dengan penyanyi yang diminatinya sejak dulu menerusi lagu yang dicipta sepenuhnya Audi Mok dan Shazee Ishak itu.

“Sebelum ini saya diberi pilihan untuk memilih pasangan duet. Dua nama yang saya berikan iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi.

“Saya memang berkeinginan untuk berduet dengan Adira kerana sebelum ini saya selalunya menyanyikan lagu Ombak Rindu.

“Saya teruja kerana impian saya untuk berduet dengan Adira dalam sebuah lagu akhirnya tercapai,” ujarnya.

Pejam boleh didengar di semua platform digital bermula semalam selain video muziknya yang kini boleh ditonton di saluran Youtube, Nova Music Videos.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN