Saman fitnah Roslin - Chin Chai selesai

Saman fitnah Roslin – Chin Chai selesai

ROSLIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas seminggu kes saman fitnah di antara Roslin Hashim dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong selesai dengan cara baik, hari ini giliran bekas pemain badminton nombor satu dunia itu berbaik semula dengan Naib Presiden BAM, Datuk Ng Chin Chai.

Dalam prosiding hari ini, Roslin membacakan permohonan maafnya terhadap Chin Chai secara terbuka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahri Mohd. Salleh.

Permohonan maaf itu antara lain menyatakan rasa kesal Roslin atas kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya terhadap pegawai BAM itu di ‘Facebook Live’ di akaun Facebook saya, Abe Lin pada tarikh 19 Januari 2022.

“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Ng Chin Chai. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya sebagai seorang peguam dan pegawai Persatuan Badminton, terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

“Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Ng Chin Chai melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali. 

Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Ng Chin Chai dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Ng Chin Chai serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Datuk Ng Chin Chai,”kata Roslin.

Roslin yang juga Panel Penasihat Teknikal BAM turut memberikan aku janji untuk tidak mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau sebarang kata-kata kesat yang boleh menyinggung Chin Chai.

Hadir pada prosiding hari ini ialah peguam, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Chin Chai manakala Roslin diwakili peguam, Cassandra Lee.

Menurut penyataan tuntutan Chin Chai, kenyataan yang dibuat Roslin di Facebook Live itu seolah-olah beliau telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan BAM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN