KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mencadangkan supaya monopoli beras dihapuskan bagi memastikan harganya di pasaran tidak lagi dikawal oleh satu pihak sahaja.
Maka , sudah tiba masanya Sabah bebas daripada monopoli satu-satunya syarikat yang mempengaruhi pasaran beras di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, Sabah perlu menguruskan sendiri import beras.
“Dengan mengambil kira keunikan geografi dan keadaan landskap sosial di negeri ini maka, memang sesuai untuk kita mengurus sendiri bahan komoditi asas tersebut.
“Saya percaya perubahan sebegini akan mewujudkan persaingan yang akan membolehkan pasaran beras lebih stabil dan mungkin dapat menurunkan harga beras di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan itu dikemukakan berikutan kebimbangan rakyat Sabah mengenai peningkatan harga beras putih yang dijangka naik hingga 36 peratus seperti diumumkan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata, peningkatan harga beras bukan hanya akan memberi kesan kepada perbelanjaan isu rumah malah, ia akan menjejaskan kehidupan keluarga berpendapatan rendah.
“Maka, kita mahu Bernas bersikap lebih telus dalam menentukan harga beras dan tahap bekalan beras. Orang ramai berhak mengetahui bagaimana penetapan harga beras dan apa pendekatan yang diambil untuk menstabilkan harga beras di pasaran.
“Bernas juga perlu mengeluarkan bekalan tambahan beras daripada simpanan mereka kerana Bernas bukan hanya sebuah entiti perniagaan. Bernas bertanggungjawab dalam menyediakan bekalan makanan ruji tersebut,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah sebelum ini memaklumkan Sabah mengimport 290,000 metrik tan beras pada 2021 tapi, pengeluaran beras tempatan hanya 22,000 metrik tan sahaja.
Jeffrey berkata, pertanian antara salah satu teras dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) jadi, Sabah mahu melihat tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang tahun 2030.
Hasrat itu mungkin mampu dicapai melalui penubuhan semula Lembaga Padiberas Sabah bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran beras melalui pemulihan sawah padi dan penaiktarafan sistem pengairan di sawah sedia ada.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Sabah agar bersabar kerana ketika ini kerajaan sedang berusaha untuk melakukan transformasi pertanian dalam memastikan krisis bekalan beras ditangani dengan baik. -UTUSAN










